Sunday, August 23, 2009

PeMbeNtukKaN MiNda ProGresiF MeLaLui Al-QuRaN

Al-Quran merupakan kitab suci yang diwahyukan ke atas Nabi Muhammad SAW yang mengandungi pelbagai mukjizat. Mukjizat terbesar yang terkandung dalamnya adalah ilmu pengetahuan yang merangkumi pelbagai bidang seperi ilmu akidah atau ketauhidan, ilmu sains, ilmu matematik, ilmu kemasayarakatan dan lain-lain lagi. Sumber ilmu pengetahuan adalah daripada Allah SWT yang mengajar manusia tentang isi alam semesta ini. Sebagaimana firman Alla SWT dalam Surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5:

Maksudnya:1.Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang telah mencipta 2. Menciptakan manusia dari segumpal darah. 3. Bacalah! Dan Tuhan engkau itu adalah Maha Mulia. 4. Dia yang mengajarkan dengan qalam. 5. Mengajar manusia apa-apa yang dia tidak tahu.

Menurut Syed Qutb dalam karyanya Fi Zilal Quran, bahawa Allah SWT yang menjadikan manusia daripada segumpal darah merupakan sumber ilmu pengetahuan dan Dialah mengajar dan membukan rahsia ilmu itu agar manusia memperolehinya dan memanfaatkannya di dalam kehidupan mereka. Dalam kitab Tafsir Al-Azhar karya Prof. Dr. Hamka, beliau menerangkan bahawa asal kejadian manusia adalah daripada segumpal darah, yang berasal daripada segumpal air mani, dan apabila manusia bertambah dewasa, di ajarkan pula kepandaian menulis untuk mencatat ilmu pengetahuan. Syaikh Muhammad Abduh pula berkata, ayat dalam surah ini menyatakan kepentingan membaca dan menulis ilmu pengetahuan dalam segala bidang ilmu itu,
Ar-Razi pula berpendapat, dua ayat pertama disuruh membaca di atas nama Tuhan yang telah menciptakan, adalah mengandungi qudrat, hikmat, ilmu dan rahmat. Semuanya adalah sifat Tuhan. Dan pada ayat yang seterusnya, Tuhan menyatakan mencapai ilmu dengan qalam atu pena, adalah isyarat bahawa ada juga hukum itu yang tertulis, tidak dapat di fahami dan didengar dengan saksama. Maka pada dua ayat yang pertama memperlihatkan rahsia rububiyah iaitu ketuhanan, dan tiga ayat seterusnya memperlihatkan rahsia nubbuwah iaitu kenabian.

Justeru itu, rahsia ilmu pengetahuan di dalam Al-Quran hendaklah di terokai dan di kaji segala isi kandungan di dalamnya kerana ia merupakan jalan bagi manusia mengenali siapa Penciptanya dan yang paling utama dapat memandu akal fikiran dalam mencari kebenaran dalam kehidupan. Bahkan juga, melalui ilmu pengetahuan yang di kaji, dapat membentuk kefahaman yang betul mengenai alam dan kehidupan.

Di samping itu, Umat Islam pada hari ini perlu memperkasakan minda mereka dengan mengkaji dan menyelidiki rahsia alam semesta dengan berpandukan Al-Quran. Hal bersesuaian dengan gelaran Ulul Al-Bab yang diberikan penghormatan yang istimewa oleh Allah SWT terhadap hambaNya yang suka mengkaji, memikirkan,meneliti kejadian dan ciptaan Allah di muka bumi ini. Hal ini di jelaskan dalam Surah Al-Imran ayat 190 hingg 191:

Maksudnya:190. Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi serta silih bergantinya, terdapat beberapa tanda bagi orang-orang yang berakal. 191. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sewaktu berdiri, duduk atau berbaring dan mereka fikirkan hal kejadian langit dan bumi: Ya Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan (semuanya) ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau! Maka peliharakanlah kami dari azab neraka.

Ungkapan Ulul Al-Bab dalam ayat di atas membawa makna terhadap golongan yang berfikir, mempunyai fikiran dan mengkaji alam semesta. Namun, menurut Ar-Razi, ia bermaksud renungan terhadap mengakui kebesaran Allah SWT dengan berpaksikan ketauhidan terhadapNya. Menurut Prof. Dr. Hamka pula, golongan Ulul Al-Bab dalam ayat di atas merujuk kepada seseorang yang berfikir tentang kejadian langit dan bumi dan lantas dia mengingat Allah dalam hatinya seterusnya hatinya mengakui kelemhan diri, tawakkal dan menyerah diri kepada Allah SWT, dan akhirnya memohon di jauhkan azab seksa daripada Allah SWT.

Justeru itu, ilmu pengetahuan yang di berikan oleh Allah SWT melalui isi kandungan dalam Al-Quran serta di buktikan kebenarannya dengan penciptaan alam semesta, langit dan bumi, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya, adalah suatu perintah terhadap hambaNya agar menggunakan akal yang di kurniakan untuk mengkaji dan berfikir rahsia kejadian alam yang boleh memberi manfaat terhadap kehidupan manusia. Selain itu, rangsangan Al-Quran yang sememangnya mahu Umat Islam memperkasakan minda mereka melalui penyelidikan dalam setiap bidang ilmu pengetahuan serta mampu menganalisi data dan fakta yang kukuh dan berhujah dengan dalil atau bukti yang mantap berpandukan Al-Quran.

Oleh yang demikian, marilah kita semua menyahut seruan Al-Quran dalam mendalami dan mengkaji ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya serta menginsafi diri akan kelemahan diri dengan merenung kejadian dan ciptaan Allah SWT dalam melahirkan generasi minda yang progresif.

0 comments:

Post a Comment