Sunday, August 23, 2009

DuNia IsLam MaSa KiNi

Suatu masa dahulu, Islam begitu kuat dan gemilang. Ketika itu juga, Umat Islam menguasai dan mendominasi segala lapangan dan bidang keilmuan. Sejarah membuktikan bahawa lahirnya ramai tokoh keilmuan dalam pelbagai bidang seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Razi serta tokoh yang lain. Namun, pada hari ini, Umat Islam semakin jauh ketinggalan, bahkan di tindas dan dihina serta di usir tanah air sendiri selain dilabel imej negatif dan pengganas.

Berita keganasan, pencerobohan oleh tentera kufur ke atas wilayah dan negara Islam amat menyedihkan kita semua. Penghinaan Nabi Muhammad SAW sebagai ikon pengganas mencerminkan bahawasanya Umat Islam masa kini sudah tidak mampu mempertahankan maruah dan kesucian Islam. Martabat agama Islam kini di pandang rendah oleh masyarakat barat. Propaganda barat yang menggambarkan Umat Islam sebagai pengganas semakin kuat disebarkan oleh media barat. Kekacaun dan serangan media barat semakin luas dan menjadi senjata utama mereka dalam melemahkan pemikiran Umat Islam.

Para pemerintah Islam kononnya menyarankan agar Umat Islam bersatu padu dalam mendaulatkan semula kesucian Islam. Namun, sehingga kini, tiada satu pun gerak kerja dalam merealisasikan impian tersebut.Ingin dijelaskan bahawa, sudah berpuluh tahun sejak keruntuhan Kerajaan Turki Uthamaniyah, ideologi barat seperti sekularisme, liberalisme, kapitalis yang kini semakin menular di kalangan umat Islam, khususnya para pemerintah kerajaan Islam. Maka, tidak hairanlah nasib Umat Islam di Palestin tidak dibela oleh negara Arab selagi pemerintah Islam berkiblatkan ideologi barat.

Kini sudah tiba masanya Umat Islam memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mendaulatkan semula agama Islam dan mengembalikan kegemilanagn Islam suatu ketika dulu. Syaratnya, kembali kepada Al-Quran dan hadis sebagai rujukan utama dalam kehidupan dengan memperkasakan isi kandungan Al-Quran dan hadis seterusnya dipraktikan dan di ajar di setiap lapisan umur. Para pemerintah juga perlu kembali kepada sistem pemerintahan mengikut aturan yang ditetapkan dalam Al-Quran dan melaksanakan hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT . Usaha sedemikian amat penting dalam menjaga dan memulihkan semula syiar Islam. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 73:

Maksudnya: Adapun orang-orang yang kafir, sebagian mereka menjadi pelindung bagi sebagian yang lain. jika kamu (hai Para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu,niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakkan yang besar.

Dalam kitab Tafsir Al-Azhar, karya Prof. Dr. Hamka, Allah memberi peringatan kepada Umat Islam, bahawasanya orang-orang kafir akan saling membantu antara mereka dalam membinasakan Umat Islam. Sebagai contoh, peristiwa Perang Ahzab, tentera musyrikin Mekah berkerjasama dengan orang Yahudi serta suku arab yang lain dalam menghadapi kaum muslimin pada waktu itu. Peringatan Allah ini setelah kemenangan Umat Islam ketika Perang Badar, yang mana Allah mengingatkan Umat Islam agar jauh daripada fitnah musuh. Bahkan, Allah SWT memberi peringatan agar Umat Islam menjaga dan memelihara kesatuan dan perpaduan sesama mereka.

Oleh yang demikian, sempena kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, marilah kita sama-sama menginsafi dan bermuhasabah agar kembali kepada landasan ajaran Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW supaya di jadikan pedoman dan rujukan utama dalam menyelesaikan masalah umat kita yang semakin jauh menyimpang dari ajaran yang termaktub dalam Al-Quran. Marilah kita sama-sama bersatu padu dan menguatkan lagi ikatan silatulrahim sesama kita dalam membela dan menegakkan syiar Islam…ALLAHUAKBAR!!


0 comments:

Post a Comment