Sunday, August 23, 2009

WaSiaT RasULuLLaH SAW UnTuk WanItA

Suamimu Adalah Syurga Dan Nerakamu

Sabda Nabi Muhammad Saw yang bermaksud:

Dari Al-Husain bin Muhsan, bahawa makciknya datang kepada Nabi SAW , untuk suatu keperluan, namun dia tidak mendapatkan apa yang diperlukannya, lalu Nabi SAW bertanya kepadanya:” Apakah engkau mempunyai suami?” Dia menjawab: “Ya”. Baginda bertanya: “Bagaimanakah kedudukanmu di sampingnya? Dia menjawab: “Aku tidak mengabaikannya kecuali yang memang aku tidak mampu mengerjakannya.” Baginda berkata: “Maka lihatlah, di mana kedudukanmu di sampingnya, kerana dia adalah syurgamu dan nerakamu.”

Wahai kaum Muslimah, pada hakikatnya perkahwinan merupakan ungkapan tentang persetujuan antara seorang lelaki dan wanita untuk melahirkan generasi yang baik, yang bersedia beribadah kepada Allah, membangun dan mengisi kehidupan ini. Perkahwinan dalam Islam adalah pemaduan rasa kasih sayang serta berusaha saling memberi antara dua manusia. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Rum ayat 21:

Yang Bermaksud:“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mahu berfikir.”

Pentafsiran kalimah mawaddatan wa rahmatan menurut Prof. Dr. Hamka ialah cinta, iaitu kerinduan seorang lelaki kepada seorang wanita dan seorang wanita kepada seorang lelaki yang dijadikan Allah tabiat semula jadi dalam kehidupan. Setiap lelaki dan wanita yang sihat akan mencari pasangan hidup yang disertai keinginan menumpahkan kasih sayang dan kepuasan bersetubuh, dan setelah itu termeterailah mawaddatn atau cinta kedua belah pihak
Bagi mempertahankan kesinambungan hidup antara suami dan isteri, maka Allah menetapkan hak-hak bagi setiap suami dan isteri terhadap yang lain. Firman-Nya:

Yang Bermaksud.” wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru. Tidak boleh mereka Menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. dan suami-suaminya berhak merujukinya dalam masa menanti itu, jika mereka (para suami) menghendaki ishlah. dan Para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma'ruf. akan tetapi Para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Menurut Prof. Dr. Hamka, ayat di atas menjelaskan bahawa suami dan isteri mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing dalam mengurus rumah tangga. Hak isteri tidak boleh di tuntut ke atas suami secara berlebihan dan hanya mengikut kemampuan suaminya itu. Oleh itu, suami berhak menyediakan keperluan ke atas isterinya mengikut kemampuannya sendiri, kerana keputusan dalam mnyelesaikan masalah adalah terletak pada tangan suami.
Adapun di antara hak wanita atas suaminya atau kewajipan suami terhadap isterinya, dia harus mengajari apa yang diperlukan isterinya tentang masalah agama. Firman Allah SWT dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

Yang Bermaksud:” Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Tafsiran ayat di atas ialah perintah Allah kepada setiap individu muslim agar memupuk dan memantapkan keimanan dalam diri sebelum memupuk keimanan terhadap isteri dan anak-anak, seterusnya peliharalah diri daripada azab neraka sebelum memelihara keluarga daripada azab seksa. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab suami untuk membimbing isteri dan anak-anak mengenai ilmu agama. Hal ini bersesuaian dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Tiap-tiap kamu itu ialah penggembala dan tiap-tiap kamu akan ditanyai tentang apa yang digembalakannya. Imam yang mengimami orang banyak adalah penggembala, dan dia akan ditanya tentang orang yang digembalakannya itu. Dan seorang laki-laki adalah penggembala terhadap keluarganya, dan dia pun akan ditanyai tentang penggembalaannya. Dan seorang perempuan adalah penggembala dalam rumah suaminya, dan dia pun akan ditanyai tentang yang digembalakannya.”

Di antara hak wanita atas suaminya, suami harus menjaga dan mencemburui dirinya. Hak wanita yang lain, suami harus mempergaulinya dengan cara yang baik dan mencurahkan kasih sayang padanya. Suami juga tidak boleh mengkhianati dan mencari kesalahannya.

Khatimah

Wahai kaum muslimah, ingatlah wasiat Rasulullah SAW ini,
“Di antara kewajipanmu, hendaklah engkau berusaha bagaimana memuaskan suami dan menyusupkan kegembiraan ke dalam hatinya. Jangan sampai ia mendengar darimu kecuali ucapan-ucapan yang baik, jangan sampai dia mencium darimu kecuali bau harum, agar rumahmu menjadi tenang dan nimat sendi-sendinya.”

AhLan WaSahLan RamaDhaN Al-MubAraK

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Pencipta Alam, Yang Maha Berkuasa di langit dan di bumi, kerana sekali lagi kita bertemu dengan kedatangan bulan Ramadhan, bulan yang menjanjikan kerahmatan dan keampunan daripada Allah SWT. Bahkan, kedatangan bulan yang cukup mulia dan berkat ini memberi peluang seluas-luasnya kepada umat Islam agar dapat melipat gandakan amal ibadah sekaligus meningkatkan keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT. Ingatlah, bahawasanya baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“ Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan, maka Allah SWT haramkan jasadnya daripada disentuh api neraka (pada hari kiamat kelak)”
.

Oleh itu, kedatangan bulan yang penuh berkat ini sewajarnya disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan dalam mempersiapkan diri menghadapi dan melaksanakan kewajipan berpuasa serta melaksanakan amal ibadah yang lain seperti membaca Al-Quran, Solat sunat Terawih, berzikir, memperbanyakkan sedekah dan lain-lain lagi. Sewajarnya, Umat Islam hendaklah mensucikan jiwa dan hati mereka dengan bertaubat kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan daripada segala dosa-dosa yang dilakukan sebelum melakukan ibadah puasa dan amalan yang lain di bulan yang mulia ini. Umat Islam juga hendaklah bersunngguh-sungguh dan tidak mengulangi dosa yang lalu ketika mempersiapkan diri dalam menjalani ibadah puasa dengan penuh keinsafan dan membersihkan hati agar mudah melaksanakan rukun Islam yang ketiga itu.

Bulan Ramadhan juga mengandungi banyak kelebihan dan hikmah yang disediakan oleh Allah SWT terhadap Umat Islam. Antara hikmahnya adalah menguatkan hubungan individu muslim dengan Yang Maha Pencipta melalui amalan berpuasa,mengerjakan solat Terawih, bertadarus yang mana meningkatkan ketaqwaan dalam diri selain mendapat keampunan dan petunjuk daripada Allah SWT. Sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat yang bermaksud.

Maksudnya: (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). karena itu, Barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan Barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.

Menurut Prof. Dr. Hamka dalam kitab Tafsir Al-Azhar, ayat di atas cukup jelas menerangkan bahawa, Al-Quran yang diturunkan dalam bulan Ramadhan adalah petunjuk kepada orang beriman dalam menuju jalan Allah dan membebaskan mereka daripada kegelapan, dan menjelaskan lagi isi ajaran Nabi-Nabi terdahulu.
Selain itu, Umat Islam juga digalakkan agar memperbanyakkan sedekah dan tolong-menolong dalam memberi bantuan kepada fakir miskin, anak-anak yatim,orang yang kurang bernasib baik dan lain-lain lagi. Amalan ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi ikatan ukhuwah islamiah dan dapat menyemai sikap bersatu padu serta memupuk semangat perpaduan yang jitu dikalangan Umat Islam.

Akhirnya, marilah kita sama-sama mempersiapkan diri dalam melaksanakan ibadah puasa dan amal ibadah yang lain agar dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Semoga amalan kita semua di terima dan diampuni oleh Allah SWT.






HiKmAh BeRsAhUr

Amalan bersahur merupakan satu amalan yang penting di bulan Ramadhan. Sebagaimana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Bukhari, Muslim, Ahmad, Termizi, Nasai dan Ibn Majah yang bermaksud:

“Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan.

Dalam riwayat yang lain oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud,Termizi dan Nasai, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab adalah makan sahur


Semasa bersahur, Umat Islam disunatkan juga melewatkan untuk bersahur. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sentiasalah Umatku dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur

dan menyegerakan berbuka puasa.”

Amalan bersahur terdapat hikmahnya. Dari sudut sains, amalan ini menepati waktu bersarapan pagi. Kajian menunujukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam adalah sarapan pagi. Hal ini kerana bersarapan pagi adalah penting bagi memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Bahkan, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung, dan menghidap penyakit kencing manis.
Hal ini menjadi penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negative di sebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian menunjukkan bahawa kadar glukosa dalam darah menuruh selepas bangun tidur dan keadaan ini akan berterusan kerana tidak bersarapan, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan pada pelajaran.

Justeru itu, Umat Islam hendaklah bersahur ketika berpuasa di bulan Ramadhan kerana ia tidak memudaratkan kesihatan dan ia merupakan sunnah Nabi SAW. Mudah-mudahan, melalui amalan bersahur ini dapat memudahkan kita semua dalam melaksanakan ibadah puasa serta amal ibadah yang lain. Semoga amalan kita semua diterima Allah SWT serta mendapat kerahmatan daripadaNya….



PeNdEkAtAn DakWah Bil HaL

Dakwah di Malaysia adalah suatu usaha yang perlu memikirkan pelbagai metode kepada sasarannya. Hal ini kerana, masyarakat di negara kita terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Orang asli dan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak. Kepelbagaian latar belakang bangsa dan sosioekonomi masyarakat ini membuatkan dakwah perlu di jana dengan pelbagai metode yang sesuai. Ini penting, bagi memudahkan proses menyampaikan mesej dakwah dapat di lakukan dengan sistematik dan tersusun. Jika dilihat suasana dan persekitaran masyarakat di negara kita, pendekatan dakwah melalui bi al-hal sangat penting kerana ia dilakasanakan dalam ruang lingkup penerapan nilai-nilai Islam dalam amalan dan cara hidup sesuatu masyarakat. Oleh itu, dakwah bi al-hal sering menumpukan usaha-usaha pembinaan akhlak baik dalam kalangan masyarakat. Misalnya, penerapan amalan bersatu-padu, toleransi, nilai teladan baik, tolong-menolong, menghormati orang lain dan sebagainya. Dengan kata lain, sikap suka bergaul dalam masyarakat adalah kunci kepada gerakan dakwah bi al-hal. Sebagai contoh, antara pendekatan dakwah bi al-hal kepada masyrakat Orang Asli adalah:
I. Ziarah
II. Layanan makan dan minum
III. Gotong-royong
IV. Sukaneka
V. Pendidikan dan motivasi anak-anak.
VI. Demostrasi kesihatan
VII. Tayangan video.

Pendekatan dakwah bi al-hal pada hakikatnya mampu menyesuaikan keadaan dan cara hidup bermasyarakat. Dakwah bi al-hal juga mempunyai cirri-ciri tarikan dan pembujukan yang tinggi sehingga mudah menarik perhatian sasarannya. Oleh yang demikian, pendekatan dakwah bi al-hal amat mudah di amalkan kerana ia perlu dilaksanakan mengikut cara hidup dan suasana sesuatu masyarakat.



PeMbeNtukKaN MiNda ProGresiF MeLaLui Al-QuRaN

Al-Quran merupakan kitab suci yang diwahyukan ke atas Nabi Muhammad SAW yang mengandungi pelbagai mukjizat. Mukjizat terbesar yang terkandung dalamnya adalah ilmu pengetahuan yang merangkumi pelbagai bidang seperi ilmu akidah atau ketauhidan, ilmu sains, ilmu matematik, ilmu kemasayarakatan dan lain-lain lagi. Sumber ilmu pengetahuan adalah daripada Allah SWT yang mengajar manusia tentang isi alam semesta ini. Sebagaimana firman Alla SWT dalam Surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5:

Maksudnya:1.Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang telah mencipta 2. Menciptakan manusia dari segumpal darah. 3. Bacalah! Dan Tuhan engkau itu adalah Maha Mulia. 4. Dia yang mengajarkan dengan qalam. 5. Mengajar manusia apa-apa yang dia tidak tahu.

Menurut Syed Qutb dalam karyanya Fi Zilal Quran, bahawa Allah SWT yang menjadikan manusia daripada segumpal darah merupakan sumber ilmu pengetahuan dan Dialah mengajar dan membukan rahsia ilmu itu agar manusia memperolehinya dan memanfaatkannya di dalam kehidupan mereka. Dalam kitab Tafsir Al-Azhar karya Prof. Dr. Hamka, beliau menerangkan bahawa asal kejadian manusia adalah daripada segumpal darah, yang berasal daripada segumpal air mani, dan apabila manusia bertambah dewasa, di ajarkan pula kepandaian menulis untuk mencatat ilmu pengetahuan. Syaikh Muhammad Abduh pula berkata, ayat dalam surah ini menyatakan kepentingan membaca dan menulis ilmu pengetahuan dalam segala bidang ilmu itu,
Ar-Razi pula berpendapat, dua ayat pertama disuruh membaca di atas nama Tuhan yang telah menciptakan, adalah mengandungi qudrat, hikmat, ilmu dan rahmat. Semuanya adalah sifat Tuhan. Dan pada ayat yang seterusnya, Tuhan menyatakan mencapai ilmu dengan qalam atu pena, adalah isyarat bahawa ada juga hukum itu yang tertulis, tidak dapat di fahami dan didengar dengan saksama. Maka pada dua ayat yang pertama memperlihatkan rahsia rububiyah iaitu ketuhanan, dan tiga ayat seterusnya memperlihatkan rahsia nubbuwah iaitu kenabian.

Justeru itu, rahsia ilmu pengetahuan di dalam Al-Quran hendaklah di terokai dan di kaji segala isi kandungan di dalamnya kerana ia merupakan jalan bagi manusia mengenali siapa Penciptanya dan yang paling utama dapat memandu akal fikiran dalam mencari kebenaran dalam kehidupan. Bahkan juga, melalui ilmu pengetahuan yang di kaji, dapat membentuk kefahaman yang betul mengenai alam dan kehidupan.

Di samping itu, Umat Islam pada hari ini perlu memperkasakan minda mereka dengan mengkaji dan menyelidiki rahsia alam semesta dengan berpandukan Al-Quran. Hal bersesuaian dengan gelaran Ulul Al-Bab yang diberikan penghormatan yang istimewa oleh Allah SWT terhadap hambaNya yang suka mengkaji, memikirkan,meneliti kejadian dan ciptaan Allah di muka bumi ini. Hal ini di jelaskan dalam Surah Al-Imran ayat 190 hingg 191:

Maksudnya:190. Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi serta silih bergantinya, terdapat beberapa tanda bagi orang-orang yang berakal. 191. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sewaktu berdiri, duduk atau berbaring dan mereka fikirkan hal kejadian langit dan bumi: Ya Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan (semuanya) ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau! Maka peliharakanlah kami dari azab neraka.

Ungkapan Ulul Al-Bab dalam ayat di atas membawa makna terhadap golongan yang berfikir, mempunyai fikiran dan mengkaji alam semesta. Namun, menurut Ar-Razi, ia bermaksud renungan terhadap mengakui kebesaran Allah SWT dengan berpaksikan ketauhidan terhadapNya. Menurut Prof. Dr. Hamka pula, golongan Ulul Al-Bab dalam ayat di atas merujuk kepada seseorang yang berfikir tentang kejadian langit dan bumi dan lantas dia mengingat Allah dalam hatinya seterusnya hatinya mengakui kelemhan diri, tawakkal dan menyerah diri kepada Allah SWT, dan akhirnya memohon di jauhkan azab seksa daripada Allah SWT.

Justeru itu, ilmu pengetahuan yang di berikan oleh Allah SWT melalui isi kandungan dalam Al-Quran serta di buktikan kebenarannya dengan penciptaan alam semesta, langit dan bumi, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya, adalah suatu perintah terhadap hambaNya agar menggunakan akal yang di kurniakan untuk mengkaji dan berfikir rahsia kejadian alam yang boleh memberi manfaat terhadap kehidupan manusia. Selain itu, rangsangan Al-Quran yang sememangnya mahu Umat Islam memperkasakan minda mereka melalui penyelidikan dalam setiap bidang ilmu pengetahuan serta mampu menganalisi data dan fakta yang kukuh dan berhujah dengan dalil atau bukti yang mantap berpandukan Al-Quran.

Oleh yang demikian, marilah kita semua menyahut seruan Al-Quran dalam mendalami dan mengkaji ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya serta menginsafi diri akan kelemahan diri dengan merenung kejadian dan ciptaan Allah SWT dalam melahirkan generasi minda yang progresif.

DuNia IsLam MaSa KiNi

Suatu masa dahulu, Islam begitu kuat dan gemilang. Ketika itu juga, Umat Islam menguasai dan mendominasi segala lapangan dan bidang keilmuan. Sejarah membuktikan bahawa lahirnya ramai tokoh keilmuan dalam pelbagai bidang seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Razi serta tokoh yang lain. Namun, pada hari ini, Umat Islam semakin jauh ketinggalan, bahkan di tindas dan dihina serta di usir tanah air sendiri selain dilabel imej negatif dan pengganas.

Berita keganasan, pencerobohan oleh tentera kufur ke atas wilayah dan negara Islam amat menyedihkan kita semua. Penghinaan Nabi Muhammad SAW sebagai ikon pengganas mencerminkan bahawasanya Umat Islam masa kini sudah tidak mampu mempertahankan maruah dan kesucian Islam. Martabat agama Islam kini di pandang rendah oleh masyarakat barat. Propaganda barat yang menggambarkan Umat Islam sebagai pengganas semakin kuat disebarkan oleh media barat. Kekacaun dan serangan media barat semakin luas dan menjadi senjata utama mereka dalam melemahkan pemikiran Umat Islam.

Para pemerintah Islam kononnya menyarankan agar Umat Islam bersatu padu dalam mendaulatkan semula kesucian Islam. Namun, sehingga kini, tiada satu pun gerak kerja dalam merealisasikan impian tersebut.Ingin dijelaskan bahawa, sudah berpuluh tahun sejak keruntuhan Kerajaan Turki Uthamaniyah, ideologi barat seperti sekularisme, liberalisme, kapitalis yang kini semakin menular di kalangan umat Islam, khususnya para pemerintah kerajaan Islam. Maka, tidak hairanlah nasib Umat Islam di Palestin tidak dibela oleh negara Arab selagi pemerintah Islam berkiblatkan ideologi barat.

Kini sudah tiba masanya Umat Islam memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mendaulatkan semula agama Islam dan mengembalikan kegemilanagn Islam suatu ketika dulu. Syaratnya, kembali kepada Al-Quran dan hadis sebagai rujukan utama dalam kehidupan dengan memperkasakan isi kandungan Al-Quran dan hadis seterusnya dipraktikan dan di ajar di setiap lapisan umur. Para pemerintah juga perlu kembali kepada sistem pemerintahan mengikut aturan yang ditetapkan dalam Al-Quran dan melaksanakan hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT . Usaha sedemikian amat penting dalam menjaga dan memulihkan semula syiar Islam. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 73:

Maksudnya: Adapun orang-orang yang kafir, sebagian mereka menjadi pelindung bagi sebagian yang lain. jika kamu (hai Para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu,niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakkan yang besar.

Dalam kitab Tafsir Al-Azhar, karya Prof. Dr. Hamka, Allah memberi peringatan kepada Umat Islam, bahawasanya orang-orang kafir akan saling membantu antara mereka dalam membinasakan Umat Islam. Sebagai contoh, peristiwa Perang Ahzab, tentera musyrikin Mekah berkerjasama dengan orang Yahudi serta suku arab yang lain dalam menghadapi kaum muslimin pada waktu itu. Peringatan Allah ini setelah kemenangan Umat Islam ketika Perang Badar, yang mana Allah mengingatkan Umat Islam agar jauh daripada fitnah musuh. Bahkan, Allah SWT memberi peringatan agar Umat Islam menjaga dan memelihara kesatuan dan perpaduan sesama mereka.

Oleh yang demikian, sempena kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, marilah kita sama-sama menginsafi dan bermuhasabah agar kembali kepada landasan ajaran Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW supaya di jadikan pedoman dan rujukan utama dalam menyelesaikan masalah umat kita yang semakin jauh menyimpang dari ajaran yang termaktub dalam Al-Quran. Marilah kita sama-sama bersatu padu dan menguatkan lagi ikatan silatulrahim sesama kita dalam membela dan menegakkan syiar Islam…ALLAHUAKBAR!!


Wednesday, August 12, 2009

RoH JiHaD PaNgLiMa IsLaM


Barisan Jihad Pemuda Islam,
Langkah Maju, Mara Ke Hadapan,
Di Bawah Panji-Panji Al-Quran,
Bersama Serauan Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar…..
Dengan Niat Suci, Ikhlas Nan Murni,
Tegakkan Tauhid Di Wajah Bumi,
Allah Tempat Mengadu,
KepadaNya Mengabdi,
Hapuskan Maksiat Dengan Iman Hakiki,
Mansuhkan Tiran, Taghut Dan Nafsu,
Dari Bumi Suci Islami.

Darah Syuhada, Itulah Idaman,
Menyahut Panggilan Al-Rahman,
Hancurkan Kemungkaran Serta Kezaliman,
Musnahkan Makar Dan Syaitan,
Mari Kita Hidup Bersatu Padu,
Sama Maksud Dan Sama Nawaitu,
Cintakanlah Akhirat, Kalahkanlah Nafsu,
Hidup Bersama, Ukhuwah Dan Bersatu.

Generasiku......

Dalam era globalisasi yang semakin pesat membangun, umat Islam pada hari ini dilanda cabaran hidup yang semakin sukar dibendung, khususnya masalah berkaitan dengan generasi muda Islam yang semakin alpa dan hanyut dengan keseronokkan dunia semata-mata. Keasyikan mereka dalam melayari bahtera kenikmatan duniawi menggambarkan betapa rosaknya akhlak dalam diri mereka seolah-olah tiada panduan dan pedoman hidup dalam kamus kehidupan mereka.
Khayal dengan permainan dunia, sehingga alpa dan leka akan tanggungjawab mereka terhadap agama, bangsa, negara,ibu bapa dan terutamanya kepada Rabbul A’lamin. Di Malaysia, masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja Islam semakin parah seperti penyakit yang tiada penawarnya.Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan?..Ibu bapa?..Guru di Sekolah?..Rakan Sekolah?..mahupun pihak kerajaan?..Ada setengah pihak menuding jari terhadap ibu bapa yang harus dipersalahkan disebabkan peranan mereka lebih besar dalam mendidik anak-anak mereka. Timbul lagi persoalan, adakah ibu bapa pada masa hari ini mampu memikul amanah dalam mendidik anak-anak dengan sebaik mungkin?..Jika dilihat masih lagi ibu bapa yang tidak mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak terutamannya soal didikan agama. Harta dan kemewahan duniawi mampu diberikan kepada anak-anak tetapi soal didikan agama masih lagi jauh ketinggalan tidak sama dengan peredaran semasa pada hari ini.
Apa yang pasti, masalah keruntuhan akhlak remaja Islam perlu di atasi melalui pelbagai cara dan kaedah sesuai dengan peredaran semasa. Pada asasnya, Islam merupakan agama yang merungkai setiap permasalahan dalam kehidupan manusia. Dalam menjana pembangunan akhlak remaja Islam, terdapat 2 kaedah atau cara utama iaitu:
1. Pembentukkan akidah yang mantap melalui cara penghayatan tauhid uluhiyyah melalui pendekatan al-hikmah iaitu berdasarkan kebijaksanaan ilmu dengan kebiasaan tingkah lakunya.
2. Pemantapan akhlak melalui penerapan sifat al-‘Adlu,al-Shajaah dan al-‘Iffah.

Oleh yang demikian, pembangunan akhlak dalam diri remaja Islam melalui kaedah tersebut di harap dapat mengurangkan masalah tersebut kerana generasi remaja Islam pada hari ini adalah bakal menyambung perjuangan dalam menegakkan kalimah tauhid di muka bumi Allah SWT.

Tuesday, August 11, 2009