Monday, October 19, 2009

CiRi-CirI MaSyaRaKat IsLAm


Masyarakat Islam ialah masyarakat yang beridentitikan agama, iman, akidah yakni berkeyakinan penuh kepada kebenaran Islam. Dengan akidah atau keyakinan seperti itulah mereka sanggup mengubah sejarah dan mengubah dunia. Mereka telah berhasil mengeluarkan umat manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang. Mereka ialah masyarakat pejuang di jalan Allah SWT, berjiwa perjuangan dan kehidupannya penuh perjuangan. Masyarakat sedemikian juga mengembalikan semua urusannya kepada Allah, sebagaimana firmanNya dalam surah Ahzab ayat 36 yang bermaksud:

Maksudnya: "Dan tidaklah harus bagi orang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara( tidak harus bagi mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka."

Antara ciri khusus masyarakat Islam ialah menegakkan dan mewujudkan keadilan sebagai matlamat utama. Keadilan merupakan bukti keimanan. Seseorang tidak dinilai daripada banyaknya rukuk dan sujud, tetapi daripada buah ibadahnya yang dibuktikan dalam amalan, iaitu sejauh mana ia berpegang teguh kepada keadilan, mendahulukan dirinya, keluarganya dan kaum kerabatnya sebelum ia menerapkannya kepada orang lain dan kaum Muslimin umumnya. Masyarakat Islam juga ditegakkan atas dasar persaudaraan umat manusia. Di atas dasar itulah Islam menghapuskan sisitem kasta yang merendahkan maruah dan kedudukan manusia.

Di samping itu, masyarakat Islam berdiri di atas landasan yang kuat dan teguh, iaitu kaedah saling tolong-menolong antara satu sama lain, hingga semua merasakan sama bertanggungjawab. Kaedah tersebut di gambarkan dalam berbagai-bagai peraturan, seperti peraturan zakat, amar makruf nahi mungkar dan lain-lain. Prinsip tolong-menolong dalam masyarakat Islam adalah wajib menjamin pendidikan rohani setiap orang, fikiran, perasaannya, akhlaknya, keperibadiannya dan perilaku sosialnya. Selain itu, ajaran Islam juga dapat menjadikan warga masyarakatnya sebagai keluarga dan dapat menciptakan kehidupan saling tolong-menolong antara warga masyarakatnya. Kehidupan masyarakat Islam yang saling tolong -menolong dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Setiap kamu ialah pemimpin dan akan dipersoalkan(di pertanggungjawab) ke atas rakyatnya (mereka di bawah kepimpinan kamu).

Masyarakat Islam adalah bebas daripada unsur-unsur perkauman dan taksub, masyarakat yang terbuka kepada seluruh manusia tanpa mengira keturunan dan warna kulit. Oleh itu, masyarakat Islam ialah masyarakat yang dimiliki oleh berbagai-bagai rumpun bangsa, warna kulit dan bahasa. Mereka sama-sama berhak dipelihara dan dilindungi oleh peraturan Islam dalam hidup bermasyarakat. Bahkan, hal ini dijelaskan dalam Al-Quran:

Maksudnya:"Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan serta kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya berkenal-kenalan (beramah mesra anatara satu sama lain). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih sempurna di antara kamu bukan yang lebih keturunan atau bangsanya."

Oleh yang demikian, ciri istimewa itu membolehkan ajaran Islam menjadi ajaran international, dan masyarakat Islam bukan masyarakat rasional dan bukan pula masyarakat kemazhaban, tetapi masyarakat yang tegak berdiri di atas landasan akidah ilahiah yang menumpukan perhatian besar kepada masalah akhlah, peningkatan jiwa dan martabat manusia terhadap Sang Pencipta.

Masyarakat Islam juga masyarakat yang tidak melakukan perbutan keji dan tidak membiarkan kemungkinan terjadinya kekejian, masyarakat yang tidak membuka kesempatan bagi munculnya penyelewengan, kerosakan, munculnya golongan mengingkari Allah SWT, dan merupakan masyarakat yang tegas menyatakan hukuman, Allah berfirman dalam surah an-Nur ayat 19 yang bermaksud:

Maksudnya:" Sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan kekejian dikalangan orang-orang beriman, mereka akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."

Khatimah

Sesungguhnya, masyarakat Islam merupakan masyarakay yang hidup mengikut nilai-nilai Islam, mempunyai hubungan serta Ukhuwah yang kuat tanpa mengira bangsa dan warna kulit, bahkan sentiasa menjaga hak dan kewajipan bersama. Pembentukkan masayarakat Islam yang hakiki merupakan jaminan yang menentukan keselamatan manusia dan sebagai rahmat tidak ternilai rahmatnya bagi seluruh alam.

CaBaRaN DaKwaH Di MaLaysIa


Sejak zaman Rasulullah SAW, Islam berdepan dengan berbagai-bagai ancaman, halangan, sekatan dan cabaran. Namun, Islam terus memancarkan cahayanya ke segenap pelosok alam. Kebangkitan Islam wujud di serata tempat, suara azan terus bergema di pusat-pusat pengajian, jumlah pelajar yang memasuki sekolah agama saban tahun meningkat. Gerak kerja dakwah bergerak cergas untuk mengembangkan dakwah Islam di negara kita. Namun, dalam fenomena tersebut dakwah Islam sentiasa berhadapan dengan pencabar-pencabarnya yang datang dari dua arah iaitu dalaman dan luaran.

Arah Dalaman

Antara cabaran daripada dalam masyarakat orang Islam ialah:
  • Agama dirasakan sebagai satu persoalan peribadi yang tidak ada kaitan dengan kegitan dalam kehidupan seperti kegiatan kemasyarakatan, kebudayaan, sains, teknologi, perundangan dan pentadbiran negara. Hal ini disebabkan oleh sistem pendidikan ala barat dan budaya mereka yang berjiwa sekular menjadi penghalang utama dakwah Islam untuk berkembang di negara kita.
  • Satu anggapan bahawa maruah bangsa boleh ditebus tanpa meletakkan dasar agama sebagai dasar pokok dalam rancangan dan usaha-usaha mengatasi kemiskinan, kemunduran dan kejahilan. Dengan cara itu tidak ada jaminan bahawa orang melayu yang telah dapat pelbagai jenis keuntungan dan akan menggunakannya untuk memperkuatkan kedudukan agama juga membela kepentingan Islam tanpa mengira ras, negeri atau pangkat serta berjuang dengannya untuk mendapat keredhaan Allah.
  • Terdapat hujah yang menyatakan bahawa jika Melayu kuat, maka dengan sendirinya Islam akan menjadi kuat kerana orang Melayu ialah orang Islam dan Islam ialah Melayu.Sedangkan dalam Islam tidak ada religios nation. Dalam hal ini, dakwah diperlukan untuk memberi kefahaman kepada orang Melayu supaya berusaha keras untuk memperbaiki kedudukan politik, ekonomi dan sosial Ummah Islamiah dengan cara yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
  • Pendekatan dakwah di Malaysia perlu dijelaskan secara berterus -terang sebagaimana orang Arab Quraisy telah menjadi pemimpin dunia dan bertamadun kerana komitmen dan kesetiaannya kepada Islam, maka demikianlah juga orang Melayu. Masyarakat orang Melayu perlu mendaulatkan Islam di negara kita.
Arah Luaran

Kebangkitan kesedaran Islam di dunia hari ini tidak disenangi oleh musuh-musuh Islam, terutama sekali kuasa-kuasa besar yang berfahaman Liberal Kapitalis serta Sosialis-Marxist. Kedua-duanya mempunyai penyokong yang juga merasa tergugat dengan kebangkitan Islam. Untuk melemahkan kekuatan Islam, khususnya di negara kita, pihak musuh telah menggunakan pelbagai strategi berikut:
  • Memperkuatkan sikap dan nilai-nilai liberal, sekular, kapitalisme, kekufuran, sosialisme, kebebasan, budaya disko melalui kegiatan budaya, media massa dan lain-lain lagi.
  • Memperkuat dan mambantu solidarity kelompok-kelompok bukan agama Islam dalam bidang ekonomi dan politik supaya mereka bersatu menghadapi kemajuan Umat Islam khusunya di negara kita.
  • Membantu penyebaran ajaran-ajaran dan teori sesat di kalangan masyarakat Melayu Islam di kampung.
  • Memberi sokongan moral dan material kepada individu dan pertubuhan yang diketahui tidak bersetuju dengan kemajuan Islam yang syumul di negara kita.
  • Menggunakan dadah sebagai alat untuk melemahkan Umat Islam di negara kita.
  • Mempengaruhi sikap dan pandangan rakyat di negara sekutu barat dan timur melalui media massa antarabangsa yang memaparkan kebangkitan Islam di Malaysia sebagai sesuatu tidak progresif. antikemajuan dan antiwanita.
  • Memperkukuhkan kedudukan undang-undang sekular dan institusi pengadilan sekular di Malaysia dengan menggalakkan kemasukkan pelajar-pelajar Muslim dalam program pengajian undang-undang sekular di dalam dan di luar negeri.
Khatimah

Perbincangan di atas menjelaskan bahawa usaha dan gerak kerja dakwah di negara kita perlu dipertingkatkan agar tujuan murni ini mencapai matlamat yang diharapkan, walaupun berhadapan dengan banyak halangan dan cabaran. Oleh yang demikian, kesabaran dan kesungguhan dalam berdakwah adalah kunci kejayaan dakwah Islam ketika zaman Rasulullah SAW yang perlu dihayati oleh Umat Islam di negara kita.

Sunday, October 18, 2009

KeMahiRan UnTuk BeRdaKwaH


Dakwah ialah menyeru manusia ke arah membuat kebajikan atau kebaikan dan meninggalkan segala apa yang di larang oleh Allah SWT. Justeru itu, tuntutan dakwah adalah satu kewajipan yang mesti di laksanakan ke atas setiap individu muslim di muka bumi. Oleh itu, dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, setiap muslim perlu membina kemahiran dalam berbagai aspek agar segala persiapan dan perancangan dalam melakukan aktiviti dakwah dapat dilakukan dengan penuh teliti dan sistematik.

Kemahiran Menguasai Ilmu Pengetahuan

Setiap individu muslim wajib menuntut ilmu pengetahuan, terutamanya ilmu Fardhu 'ain yang sangat dititikberatkan dalam agama Islam. Ilmu seperti Tauhid, Ilmu Hadis, Ilmu Fiqh dan yang penting sekali Ilmu Dakwah perlu dikuasai sebaik mungkin agar ia menjadi bekalan dan pegangan dalam mengerjakan aktiviti dakwah. Di samping itu, setiap muslim perlu menguasai Ilmu fardhu kifayah seperti ilmu teknologi maklumat, sains, ekonomi, perundangan dan sebagainya. Bahkan setiap muslim perlu peka dengan perkembangan semasa dan melakukan kajian supaya dapat menggabungkan kajian tersebut dengan ilmu pengetahuan mengikut pandangan Islam. Hal ini kerana ia dapat membentuk dan menghasilkan kajian yang relevan serta dapat diterima akal manusia terutama kepada mereka yang bukan Islam. Allah SWT menceritakan bagaimana Zulkarnain menguasai teknologi pada zamannya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Hingga apabila dia sampai antara buah gunung dia mendapati di hadapan kedua bukit itu satu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan. Mereka berkata:" Hai Zulkarnain sesungguhnya Ya'juj dan Ma'juj sering melakukan kerosakan di muka bumi maka dapatkah kami berikan upah kepadamu supaya membuat dinding yang memisahkan antara kami dan mereka?" Zulkarnain berkata, "Apa yang dikuasakan Allah kepadaku adalah lebih baik maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat) agar aku dapat membina sebuah dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan-potongan besi." Apabila besi itu sama rata dengan kedua puncak gungung berkatalah Zulkarnain,"Tiuplah api." Apabila besi itu menjadi merah dia pun berkata, "Berikan aku tembaga yang mendidih agar aku tuangkan ke atas besi panas itu." Maka mereka tidak dapat mendakinya dan tidak dapat melubanginya.

Dalam hal ini, setiap muslim perlu menguasai ilmu pengetahuan serta memanfaatkannya dalam melakukan amalan kebaikan terutamanya dalam mengerjakan aktiviti dakwah. Keadaan ini bersesuaian dengan perkembangan semasa dan zaman, yang mana ketika ini kemahiran ilmu dalam bidang sains dan teknologi maklumat amat penting dan ia merupakan wadah terbaik dalam menyampaikan mesej dakwah.

Kemahiran Menggunakan Berbagai Bahasa

Dalam hal ini, kemahiran dalam menggunakan berbagai bahasa adalah satu kaedah yang perlu diberi perhatian dalam melaksanakan aktiviti dakwah. Jika dilihat latarbelakang masyarakat kita yang berbilang kaum, kemahiran ini sangat penting dalam menyampaikan mesej dakwah terhadap masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada pelbagai budaya, adat resam dan bahasa. Oleh itu, sewajarnya ia perlu di praktikkan bagi memudahkan proses penyampaian mesej dakwah terhadap masyarakat bukan Islam. Hal ini kerana bahasa merupakan jiwa terhadap sesuatu bangsa.

Kemahiran Mengurus Masa

Masa itu emas. Ini merupakan ungkapan yang menggambarkan bahawa masa sangat bernilai dalam kehidupan manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Maksudnya:"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran."

Maka ingin ditegaskan bahawa masa perlu dimanfaatkan dengan amalan kebaikan dan sentiasa melaksanakan apa yang di suruh dan meninggalkan apa yang di larang. Justeru itu, setiap muslim perlu menguruskan masa dengan sebaik mungkin dalam kehidupan seharian serta mengutamakan tanngungjawab sebagai daie di muka bumi berbanding yang lain. Oleh itu, pengurusan masa sangat penting dalam membina nilai-nilai kehidupan menurut Islam serta mengutamakan tanggungjawab sebagai daie.

Kemahiran Interpersonal

Manusia secara fitrahnya memerlukan antara satu sama lain. Namun, pertengkaran dan salah faham sering berlaku kerana tindak tanduk yang menyalahi adab dan tatasusila pergaulan. Justeru kemahiran Interpersonal adalah penting untuk mengurangkan kesan-kesan negatif ini. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujarat ayat 12 yang bermaksud:

Maksudnya: "Wahai mereka yang beriman jauhilah dari kebanyakkan prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu suka mencari kesalahan orang lain."

Dalam konteks dakwah, kemahiran ini sangat penting dalam menyampaikan mesej dakwah kepada sasaran. Oleh itu, setiap muslim wajar membina kemahiran dalam diri mereka. Terdapat beberapa elemen penting dalam membina kemahiran interpersonal, iaitu:
  1. Tidak prasangka buruk
  2. Tidak sombong
  3. Sentiasa merendah diri
  4. Bercakap dengan lemah lembut dan perkataan yang baik
  5. Berakhlak mulia
Bahkan Nabi SAW berpesan:"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata dengan sesuatu yang baik ataupun hendaklah dia diam."

Oleh sebab itu, kemahiran ini sangat penting kerana ia menghubung dan interaksi antara dua pihak serta ia merupakan proses dalam menyampaikan mesej dakwah. Menurut pengarang buku 'Developing The Leaders Around You', John C. Maxwell, beliau berkata:

"Kemahiran interpersonal berkait rapat dengan sifat tidak mementingkan diri sendiri, mampu memahami kehendak manusia dan sentiasa mementingkan pergaulan yang baik sesama insan. Sikap kita terhadap orang lain menentukan sikap orang lain terhadap kita. Pemimpin yang cemerlang memahami perkara ini."

Kemahiran Membuat Keputusan

Islam menekankan agar bermusyawarah sebelum membuat sesuatu keputusan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Imran ayat 159 yang bermaksud:

Maksudnya:"Maafkanlah mereka mohonkanlah keampunan bagi mereka serta bermusyawarahlah bersama mereka dalam urusan (duniawi). Selepas kamu membulatkan tekad bertawakallah kepada Allah.."

Dalam hal ini, urusan dakwah perlu kepada perancangan yang teliti dan sistematik supaya ia dapat memberikan kesan yang positif dalam tempoh jangka masa tertentu. Namun, dalam membuat perancangan atau merencanakan sesuatu program dakwah kadangkala menghadapi
cabaran dan halangan tertentu. Oleh sebab itu, kemahiran membuat keputusan yang tepat amat penting dalam membentuk dan merancang program dakwah.

Menurut James M. Higgins dalam bukunya yang bertajuk '101 Creative Problem Solving Techniques', beliau berkata:

"Kemahiran menyelesaikan masalah secara kreatif merupakan suatu keperluan pada hari ini. Individu yang lebih inovatif dalam sesebuah organisasi biasanya akan lebih berjaya dan mampu berkembang."

Antara teknik-teknik menyelesaikan masalah yang beliau cadangkan ialah:
  1. Camelot: Teknik ini menuntut kita menentukan pencapaian yang terbaik disusuli dengan perbincangan berhubung kekuatan yang diperlukan untuk mencapainya.
  2. Fishbone Diagram: Teknik ini menggunakan lakaran seperti tulang ikan untuk mengenal pasti masalah dan jalan keluarnya.
  3. Brainstorming: Setiap ahli mesyuarat diminta memberikan pandangan berhubung dengan sesuatu masalah tanpa sebarang sekatan
  4. Scenario Writing: Ia merupakan perbincangan kreatif berhubung keadaan masa depan di susuli dengan perbincangan strategi ke arah itu.
  5. Mind Mapping: Teknik ini dapat di gunakan oleh setiap individu dengan menulis masalah pokok dan mencabangkan masalah itu kepada masalah seperti ranting pokok. Dari peta itu dapat dikenal pasti persamaan dan kaitan antara satu masalah dengan masalah yang lain.
Khatimah

Kesimpulannya, kemahiran yang ke semua di atas adalah antara kemahiran dalam merencanakan aktiviti dakwah serta mengembangkan lagi beberapa cara dan membina mengikut tahap individu muslim dalam menguasai pelbagai bidang. Oleh yang demikian, setiap muslim perlu membina asas kemahiran dalam mengerjakan aktiviti dakwah.






PeRbAnDiNgAn AgaMa BeRhuBunG StAtuS WaNitA


Wanita merupakan makhluk yang sangat istimewa yang diciptakan oleh Allah SWT. Bahkan, Allah SWT mengkhususkan Surah dalam Al-Quran mengenai wanita iaitu Surah An-Nisaa' sebagai kemuliaan dan darjat yang di berikan Allah SWT terhadap golongan yang istimewa ini. Al-Quran juga memaparkan kisah yang mengenai golongan wanita seperti kisah Maryam, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 42 yang bermaksud:

Maksudnya: "Dan( ingatlah) ketika malaikat (Jibril) berkata, "Hai Maryam, sesungguhnya Allah memilihmu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia ( yang hidup semasa dengan kamu)."

Jika kita lihat pada zaman kegemilangan Islam khususnya pada zaman Rasulullah SAW, golongan wanita turut bersama berjuang dalam menegakkan syiar Islam. Bahkan, peranan wanita dalam mengembangkan dakwah Islam turut memberikan kesan yang besar, serta di berikan penghargaan yang tinggi oleh Rasulullah sendiri. Antara tokoh wanita yang sama-sama berjuang menegakkan syiar Islam ialah Saiditina Khadijah, 'Aisyah binti Abu Bakar, Hafsah, Fatimah Az-Zahrah dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, sewajarnya golongan wanita pada masa kini perlu mencontohi keperibadian serikandi Islam pada zaman Rasulullah SAW. Memang tidak dinafikan pada zaman moden ini, ramai wanita duduk sama tinggi dan setanding dengan kaum Adam. Namun, persepsi masyarakat global kusususnya di barat memandang rendah dan menggangap wanita Islam tidak di beri kebebasan sepenuhnya dalam semua bidang. Keadaan ini di sebabkan oleh pemikiran dan ideologi serta pemahaman mengenai status wanita yang masih lagi berpegang menurut fahaman agama yang mereka anuti. Oleh itu, suatu perbandingan agama mengenai status wanita perlu di fahami dan di jelaskan supaya persepsi negatif terhadap wanita perlu dikikis dalam pemikiran masyarakat global.

Agama Kristian Dan Wanita

dalam agama Kristian, Hawa dianggap sebagai punca kepada kesalahan Adam, maka Hawa di hukum. Justeru itu wanita diarahkan agar sentiasa tunduk kepada lelaki. Dalam Bible disebutkan pesanan St. Paul dalam 1 bab Timothy 2: 11-14:

"Seorang wanita perlu belajar dalam keadaan diam penuh ketundukkan. Aku tidak mengizinkan wanita mengajar dan menguasai suaminya kerana Adam diciptakan terlebih dahulu dari Hawa. Adam tidak terpedaya tetapi wanita itulah yang terpedaya dan berdosa".

Dosa Hawa juga memberi kesan negatif kepada semua wanita. Dalam Genisis 3 ayat 16, disebutkan,

"Aku akan tambahkan sakitmu ketika mengandung dan dengan kesakitan kamu akan melahirkan anak. Kehendak kamu hanyalah semata-mata untuk memuaskan suamimu dan dia akan menguasaimu sepenuhnya."

Di sudut harta benda pula, seseorang isteri tidak boleh memiliki sebarang harta. Sebagai contoh R. Thompson dalam 'Women in Stuart England and America' menjelaskan undang-undang keluarga 1632 di England yang berteraskan ajaran Kristian. Antara ketetapannya ialah: ( Harta seseorang suami adalah miliknya. Harta seseorang isteri adalah milik suaminya.)

Agama Hindu Dan Wanita

Wanita juga tidak di pandang mulia dalam agama Hindu. Dalam kitab suci Manu Smriti yang menjelaskan undang-undang agama Hindu, di sebutkan:

"Jangan percaya kepada wanita. Jangan duduk berseorangan dengan wanita walaupun dia ibumu, anak perempuanmu ataupun saudara perempuanmu, kerana mereka akan menggodamu." Dalam kitab yang sama juga, "Tidak ada kemerdekaan bagi wanita dalam masyarakat."

Agama Yahudi Dan Wanita

Bagi agama Yahudi, wanita dianggap sebagai makhluk yang jelik. Dalam Perjanjian Lama bab Ecclesiasticus 25 ayat 19 dan 24 di sebutkan,

"Tidak ada kejelikan yang setanding kejelikan wanita..Dosa bermula daripadanya dan kerananya kita terpakda manghadapi maut. Mengikut Leonard J. Swidler dalam 'Women in Judaism: The Status of Women in Formative Judaism', pendita Yahudi menyenaraikan sembilan kutukan yang ditimpakan tuhan ke atas wanita:
  1. Bebanan haid
  2. Bebanan pendarahan dara
  3. Bebanan mengandung
  4. Bebanan melahirkan
  5. Bebanan membesarkan anak
  6. Bebanan menutup kepala seperti sedang berkabung
  7. Bebanan menindik telinga seperti seorang hamba
  8. Persaksian tidak boleh diterima
  9. Bebanan menghadapi maut
Wanita Yahudi juga tidak berhak memiliki sebarang harta. Dalam Talmud San. 71a, Git. 62a, disebutkan, "Bagaimana seseorang wanita boleh memiliki apa-apapun kerana apa sahaja yang dimilikinya adalah milik suaminya".

Khatimah

Akhirnya, Umat Islam perlu memahami segala ruang lingkup ilmu pengetahuan serta membuat perbandingan yang terperinci mengikut keperluan semasa agar salah faham mengenai sesuatu perkara seperti status wanita ini dapat menangkis segala persepsi negatif yang boleh memberikan kesan yang buruk terhadap imej dan maruah Umat Islam sendiri.


Tuesday, October 13, 2009

MeToD DakWah YaNg Di TeNtUkAn Allah SWT


Dakwah islamiah ialah gerakan menyeru manusia seluruhnya supaya mereka menganuti agama Allah, iaitu agama Islam. Oleh kerana Allah yang memerintahkan manusia untuk melaksanakan gerakan dakwah, maka Allah sendiri telah menentukan metod-metodnya yang sesuai dengan fitrah manusia. Islam mengandungi ajaran-ajaran yang sesuai dengan fitrah manusia, khususnya ajaran yang membimbing manusia untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum ayat 30 yang bermaksud:

Ertinya: Maka hadapkanlah mukamu(dirimu) ke arah Islam sebagai orang yang cenderung kepada kebenaran(haq). Agama itu ialah fitrah(agama) Allah yang menjadikan manusia dengannya (fitrah) iaitu dengan keadaan bersih semula jadinya. Tidaklah patut ada sebarang pertukaran bagi ciptaan Allah. Itulah agama yang lurus, namun begitu kebanyakan orang tidak mengetahuinya.

Metod Dakwah yang di tentukan Allah di dalam perintahNya kepada Nabi Muhammad SAW iaitu dalam firmanNya:

Ertinya: Serulah mereka kepada jalan Allah dengan hikmah, dan nasihat yang baik, dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu lebih tahu tentang orang yang menyeleweng(sesat) dari jalanNya, dan Ia lebih tahu tentang orang-orang yang mendapat petunjuk.

Ayat di atas menentukan tiga metod berdakwah ke jalan Allah, iaitu:
  1. Hikmah
  2. Nasihat Yang Baik
  3. Perbincangan dengan cara yang lebih baik.
Menurut Wan Hussein Azmi, hikmah dari segi bahasa mempunyai sembilan erti, iaitu:

  1. keadilan
  2. Tahan Marah
  3. Kenabian
  4. Sesuatu yang tidak memperlihatkan kejahilan
  5. Tiap-tiap perkataan yang bertepatan dengan yang haq(kebenaran).
  6. Meletakkan sesuatu pada tempatnya.
  7. Perkataan betul dan tepat
  8. Sesuatu yang menegah berlakunya kerosakan
  9. Mengetahui sebaik-baik perkara dengan sebaik-baik ilmu.
Dari segi tafsir pula, tafsiran al-Syikh al-Tabrasi dalam kitab tafsirnya al-Bayan, hikmah bererti Al-Quran, manakala al-Zamakhsyari dalam kitab tafsirnya Al-kasysyaf, hikmah bermaksud perkataan yang betul dan tepat, dengan erti kata lain dalil yang menerangkan kebenaran dan menghilangkan keraguan.

Berdasarkan pengertian di atas, metod hikmah dalam berdakwah dapat di bahagikan kepada tiga bahagian, iaitu:
  • Bahagian Pertama: Hikmah yang berhubung dengan sifat-sifat pendakwah, iaitu:
  1. Kenabian( sifat ini khusus kepada Nabi-Nabi)
  2. Keadilan
  3. Meletakkan sesuatu pada tempatnya
  4. Tahan marah
  5. Ilmu pengetahuan dan pengalaman yang luas
  6. Pengetahuan sebaik-baiknya.
  • Bahagian Kedua: Hikmah berhubung isi kandungan dakwah, iaitu:
  1. Al-Quran
  2. Tiap-tiap perkataan yang bertepatan dengan haq(kebenaran).
  3. Dalil-dalil yang tepat yang menerangkan kebenaran dan menghilangkan keraguan.
  • Bahagian Ketiga: Hikmah yang berhubung dengan alat dan strategi dakwah, iaitu:
  1. Sesuatu yang dapat menegah kerosakan.
  2. Sesuatu yang di letakkan betul-betul pada tempatnya.
Al-Mau'izah al-hasanah yang bererti yang menghindarkan manusia dari keburukkan dengan cara menimbulkan kegemaran dan perangsang untuk meninggalkannya, dan menanam rasa tidak mahu melakukannya. Setengah ahli tafsir lain pula berkata, nasihat yang baik adalah nasihat yang di sampaikan dengan lemah lembut sehingga ia meresap ke dalam hati yang halus dan mendalam serta dapat masuk ke dalam jiwa yang lembut.

Perbincangan dengan cara lebih baik pula bererti menghormati pandangan dan pemikiran pihak lain serta tidak memberi tekanan sepanjang perbincangan itu berlaku, sebaliknya bertujuan untuk berusaha sama dalam mencari kebenaran.

Monday, September 7, 2009

KaEdah MeRanGsAnG Anak MenYinTaI SoLaT

Solat merupakan ibadah yang paling penting bagi seorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT. Ia mula dikira oleh Allah SWT apabila seorang muslim itu mencapai usia akil baligh. Oleh itu, pendidikan solat hendaklah dimula ketika anak-anak berusia sejak kecil lagi. Untuk itu, ia menjadi tanggungjawab yang besar bagi ibu bapa dalam membentuk peribadi muslim yang sejati dalam diri anak-anak mereka. Oleh sebab itu, ibadah solat merupakan kunci utama dalam membentuk peribadi dan akhlak mulia dalam diri mereka sehingg dewasa kelak. Pendidikan solat juga mampu melahirkan anak-anak soleh yang menjadi impian setiap ibu bapa. Sebagaimana yang ditegaskan Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud:

"Apabila matinya anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh."

Justeru itu, pendidikan solat amat penting dalam membentuk jati diri dan akhlak islamiah dalam diri anak-anak serta dapat melahirkan generasi yang soleh dan berbakti kepada ibu bapa, masyarakat dan agama Islam. Oleh yang demikian, kaedah mendidik solat terhadap anak-anak yang betul amat perlu dalam merealisasikan matlamat tersebut.

Kaedah Pada Peringkat Awal (3-5 tahun)

Pada usia anak-anak mencecah tiga tahun, anak-anak pada peringkat ini suka bertindak bebas dan membuat sesuatu ikut kehendak hati mereka. Pada peringkat ini juga anak-anak suka meniru gaya dan perbuatan ibu bapa mereka. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membiarkan sahaja anak-anak mereka meniru gaya ketika solat serta membiarkan anak-anak bersolat mengikut kehendak mereka sendiri. Ibu bapa juga hendaklah tidak memarahi dan menegur anak-anak sekiranya mereka tidak mahu solat kerana mereka masih tidak memahami kewajipan untuk bersolat. Pada peringkat ini juga, ibu bapa hendaklah melatih anak mereka menghafaz dan mengajar membaca surah pendek seperti surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan sebagainya.

Kaedah Pada Peringkat Pertengahan ( 5-7 tahun)

  • Mengenal Allah SWT
Pada usia ini, ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka dengan menggunakan bahasa
yang lembut, mendidik mereka mengenal sifat Allah dan berikan contoh yang mudah
mereka untuk difahami. Terangkan kepada mereka tentang sifat kasih sayang Allah
terhadap mereka yang mendirika solat, bercerita tentang kekuasaan Allah dan nama-
nama Allah yang indah.
  • Memberikan Contoh Yang Baik
Dalam hal ini, ibu bapa perlu menjadi contoh dan role model yang baik terhadap anak-anak
mereka. Jika anak-anak melihat ibu bapa mereka tekun mendirikan solat tanpa rasa jemu,
maka ia akan memberikan kesan positif dalam pemikiran mereka iaitu perlunya
mendirikan solat. Di samping itu, ibu bapa hendaklah mengajar sedikit tentang persoalan
akidah seperti mengajar mereka tentang Rukun Islam, Rukun Iman, kisah para Rasul yang
akan memberikan pengajaran terhadap mereka.
  • Dorongan Yang Positif
Elakkan menggunakan bahasa yang kesat, memberi ugutan, memarahi mereka jika
mereka meninggalkan solat. Memukul juga dilarang sama sekali kerana ia boleh
mematahkan semangat mereka. Ibu bapa perlu memberikan galakkan dan dorongan yang
positif supaya dapat membina semangat dan motivasi anak-anak untuk mendirikan
solat dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, para ibu boleh menjahit telekung untuk
anak perempuan mereka, menyediakan sejadah kecil untuk anak-anak serta memberi
hadiah jika mereka mendirikan solat. Oleh yang demikian, ia dapat memberi kesan yang
positif dalam diri anak-anak untuk mendirikan solat.
  • Berperingkat-peringkat
Usaha mendidik anak-anak dalam melatih mereka untuk mendirikan solat hendaklah
di lakukan secara berperingkat-peringkat. Contohnya, melatih anak-anak mendirikan
solat Subuh dahulu pada setiap hari, kemudian diikuti solat Zohor, Asar, Maghrib dan
Isyak sehingga mereka biasa melakukannya sedikt demi sedikit.Keadaan ini akan memberi
ruang yang secukupnya dalam membiasakan diri mereka untuk menunaikan solat pada
setiap hari.
  • Pergi Ke Masjid
Di samping mewujudkan suasana mendirikan solat di dalam rumah, adakalanya ibu bapa
perlu membawa anak-anak untuk mendirikan solat di masjid. Ini secara tidak langsung
mendedahkan anak-anak mereka untuk bercampur dan bergaul dalam masyarakat dan ini
akan membantu mereka dalam mempelajari ilmu agama serta ia akan memberikan kesan
positif dalam jiwa mereka.
  • Mengajar Tentang Adab-Adab Islam
Pada usia ini, ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka mengenai adab-adab dalam
Islam seperti adab bersuci, adab membuang air kecil dan besar dan sebagainya. Mereka
juga perlu diajar tentang cara berwudhuk dan menjelaskan kepentingan menjaga
kebersihan.

Kaedah Pada Peringkat Akhir (7-10 tahun)

  • Perhatian Ibu Bapa
Anak-anak pada usia ini memerlukan perhatian ibu bapa kerana perubahan yang berlaku
dalam diri mereka dari segi jiwa, perlakuan dan perwatakkan. Ibu bapa perlu mengambil
berat dan memberi perhatian secukupnya tentang masalah yang dihadapi oleh anak
mereka walaupun masalah kecil sahaja. Dalam hal ini, program usrah amat penting
untuk dipraktikkan dalam rumah.
  • Solat Berjemaah
Amalan mendirikan solat berjemaah ini dapat mewujudkan suasana harmoni dalam rumah serta dapar mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mendidik anak-anak agar rajin
untuk mendirikan solat. Ikatan kasih sayang juga dapat dilihat melalui amalan ini. Secara
tidak langsung ia dapat meningkatkan motivasi mereka untuk bersolat setiap hari.
  • Memukul
Kaedah ini hendaklah untuk bertujuan untuk mengajar anak-anak sekiranya mereka
enggan dan berdegil untuk mendirikan solat. Namun, tidak perlu memukul sehingga
mencederakan mereka kerana ia akan memberikan kesan yang negatif dalam jiwa mereka.
Sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah, memukul hendaklah bukan untuk
menghukum mereka, tetapi adalah untuk mendidik dan mengajar mereka.

Khatimah

Justeru itu, tanggungjawab mendidik anak-anak untuk mendirikan solat merupakan amanah yang mesti dilaksanakan bagi membentuk dan menyemai jiwa anak-anak agar menyintai ibadah solat serta melaksanakan kewajipan Rukun Islam yang kedua ini. Kaedah yang sedemikian ini secara tidak langsung sebagai langkah atau cara utama dalam merangsang anak-anak untuk mendirikan solat. Oleh yang demikian, kaedah atau cara yang betul akan membantu dalam proses melatih dan membimbing anak-anak mempelajari cara untuk mendirikan solat serta ia juga dapat membentuk sahsiah yang mantap dalam diri mereka. Generasi yang soleh dibentuk melalui pendidikan solat yang sempurna dari peringkat akar umbi.

Friday, September 4, 2009

MemBanGun GeNerAsi MudA IsLam Di Era GloBaliSaSi


Umat Islam dewasa ini telah dilanda pelbagai cabaran-cabaran hidup yang masih lagi sukar untuk menyelesaikannya, termasuk masalah pembangunan dan pembinaan generasi muda Islam.Oleh yang demikian Umat Islam dituntut untuk mencari jalan penyelesaian dengan berpandukan segala ajaran dan peraturan yang telah digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran ayat 11 yang bermaksud:

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpegang teguh dijalan Allah, pasti diberi hidayah dan bimbingan melalui jalan yang benar (lurus).

Oleh yang demikian, Umat Islam hendaklah mengikut segala apa yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang.Permasalahan di kalangan generasi muda Islam masa kini perlu diambil berat dan bekerjasama dalam menangani masalah yang semakin membimbangkan.Justeru itu, beberapa penekanan yang perlu diambil dan diberi perhatian sewajarnya dalam menyelesaikan isu ini.Antara penekanan atau kaedah utama dalam menyelesaikan masalah dikalangan generasi muda Islam melalui:

  1. Pembinaan Akidah Islam
  2. Pendidikan Akhlak Islam
  3. wawasan Iman Dan Muamalah Islamiah
Pembinaan Akidah Islamiah

Masa muda adalah masa yang penuh dengan kegoncangan jiwa, masa peralihan daripada kanak-kanak kepada masa dewasa yang matang.Oleh itu, akidah pada masa muda ini memerlukan pembangunan dan pembinaan yang serius.Pemantapan akidah dalam jiwa generasi muda Islam amat penting kerana ia sebagai benteng yang paling utuh dalam menghadapi cabaran dalam era ini.Hal ini kerana soal akidah berkait rapat dengan keyakinan terhadap Sang Pencipta alam semesta ini.Dalam soal akidah,beberapa isu atau asas pokok utama yang perlu disemai dalam jiwa mereka, iaitu:

  • Tawhid zat wa sifat, yakni meyakini Tuhan pencipta adalah zat Tunggal yang mempunyai kekuasaan mutlak yang tidak boleh disamai dengan makhluk lain.
  • Tawhid Rububiyyah, iaitu meyakini Allah yang mengatur alam semesta ini dan apa yang terjadi didunia ini adalah kebijaksanaanNya.
  • Tawhid Uluhiyyah, yakni sebagai realisasi kedua-dua bentuk keyakinan di atas, iaitu dengan dibuktikan melalui ibadah yang didasari dengan hati dalam mendekatkan diri kepadaNya.
Dalam merangka ketiga-tiga keyakinan itu, ulama Islam telah mengembangkan pelbagai disiplin ilmu yang berkaitan dengan soal akidah, seperti ilmu tawhid, ilmu kalam, ilmu tasawuf dan lain-lain.Bagi mengukuhkan lagi akidah Islam pada generasi muda, Islam telah memberi garis panduan yang lengkap dalam mendidik jiwa mereka, terutamanya dikalangan para ibu bapa.Ada beberapa tahap dalam membina akidah Islam dalam jiwa anak-anak,iatu:

  1. Membuka jiwa anak dengan kalimah tawhid la ilaha illa Allah.
  2. Memerintahkan beribadah kepada Allah semenjak kecil lagi seperti mendirikan solat, berpuasa dan lain-lain lagi.
  3. Menanamkan rasa cinta kepada Allah SWT, Rasulullah dan kaum kerabat baginda.
  4. Amalan membaca Al-Quran dan menghayati isi kandungnya.
  5. Menanamkan kefahaman tentang halal dan haram, pahala dan dosa serta syurga dan neraka.
Oleh itu, melalui cara tersebut ia dapat membentuk jiwa anak-anak yang mantap akidahnya serta menjadi generasi mukmin yang kuat menghadapi cabaran yang mendatang.Justeru itu, pengukuhan akidah amat penting dalam membina dan membangun generasi muda Islam pada masa kini.

Pendidikan Akhlak Islam

Pendidikan akhlak Islam adalah berkait rapat dengan pembangunan dan pembinaan akidah Islam.Jiwa yang kukuh keimanannya terhadap Allah akan melahirkan budi pekerti yang mulia.Akhlak yang mulia adalah jalan untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat, serta mengangkat darjat manusia ke suatu tempat yang mulia disisi Allah.Imam al-Ghazali membahagikan akhlak yang paling utama dalam Islam kepada empat bahagian:

  • al-hikmah, iaitu bijaksana atau serasi tindakan perilaku seseorang di antara ilmu dan amalnya.
  • al-'adlu, ertinya jiwa yang dapat mencegah kemarahan dan hawa nafsu untuk dapat mencapai al-hikmah.Sifat ini juga dapat membimbing manusia ke arah keselamatan, ketenteraman, perdamaian dan kebahagiaan.
  • al-shajaah, iaitu keberanian yang bererti keteguhan hati dalam membela dan mempertahankan yang benar.
  • al-'Iffah, iaitu menjaga diri dari perbuatan maksiat dan menjauhkan diri dari kelakuan yang tidak luhur.
Keempat-empat sifat ini merupakan asas dan pokok keluhuran akhlak, yang akhirnya akan membangkitkan sifat-sifat terpuji lain.Oleh yang demikian, pendidikan akhlak Islam amat penting dalam membentuk peribadi yang mantap dikalangan generasi muda Islam masa kini.

Wawasan Iman Dan Muamalah Islamiah

Apa yang dimaksudkan wawasan iman ialah amalan kehidupan kita.Dalam mencari nilai kehidupan yang sejati, keyakinan dan motivasi keimanan yang kukuh dapat memandu kita dalam mencari erti kehidupan yang sebenar.Dalam erti yang lain, matlamat kehidupan Umat Islam adalah mengabdikan diri kepada yang Maha Pencipta, mengikut segala aturan yang telah ditetapkanNya, memikul amanah yang besar sebagai khalifah di muka bumi ini serta mendaulatkan Islam sehingga akhir hayat.Begitulah samanya dalam kehidupan generasi muda Islam pada masa kini, mereka perlu mempunyai akidah yang mantap dan peribadi dan akhlak yang mulia yang merupakan tunjang dan benteng utama dalam mencari kehidupan dalam erti kata yang sebenar.Cabaran paling utama dalam kehidupan generasi muda Islam kini adalah bagaimana untuk berhadapan dengan pengaruh keduniaan yang semakin memuncak serta boleh menggoncang keimanan dalam jiwa mereka.Dalam pada masa yang generasi Islam masa kini perlu menguasai bidang sains dan teknologi serta memanfaatkannya ke jalan yang diredhai Allah.

khatimah

Pembangunan generasi muda Islam masa kini perlu bertitik tolak dalam soal akidah kerana ia menjadi prinsip utama dalam kehidupan serta perlu mempunyai nilai akhlak dan modal insan yang utuh supaya tidak dipengaruhi budaya hedonisme dan berusaha dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah melalui panduan dan ajaran yang terkandung dalam Al-Quran.