Monday, October 19, 2009

CiRi-CirI MaSyaRaKat IsLAm


Masyarakat Islam ialah masyarakat yang beridentitikan agama, iman, akidah yakni berkeyakinan penuh kepada kebenaran Islam. Dengan akidah atau keyakinan seperti itulah mereka sanggup mengubah sejarah dan mengubah dunia. Mereka telah berhasil mengeluarkan umat manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang. Mereka ialah masyarakat pejuang di jalan Allah SWT, berjiwa perjuangan dan kehidupannya penuh perjuangan. Masyarakat sedemikian juga mengembalikan semua urusannya kepada Allah, sebagaimana firmanNya dalam surah Ahzab ayat 36 yang bermaksud:

Maksudnya: "Dan tidaklah harus bagi orang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara( tidak harus bagi mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka."

Antara ciri khusus masyarakat Islam ialah menegakkan dan mewujudkan keadilan sebagai matlamat utama. Keadilan merupakan bukti keimanan. Seseorang tidak dinilai daripada banyaknya rukuk dan sujud, tetapi daripada buah ibadahnya yang dibuktikan dalam amalan, iaitu sejauh mana ia berpegang teguh kepada keadilan, mendahulukan dirinya, keluarganya dan kaum kerabatnya sebelum ia menerapkannya kepada orang lain dan kaum Muslimin umumnya. Masyarakat Islam juga ditegakkan atas dasar persaudaraan umat manusia. Di atas dasar itulah Islam menghapuskan sisitem kasta yang merendahkan maruah dan kedudukan manusia.

Di samping itu, masyarakat Islam berdiri di atas landasan yang kuat dan teguh, iaitu kaedah saling tolong-menolong antara satu sama lain, hingga semua merasakan sama bertanggungjawab. Kaedah tersebut di gambarkan dalam berbagai-bagai peraturan, seperti peraturan zakat, amar makruf nahi mungkar dan lain-lain. Prinsip tolong-menolong dalam masyarakat Islam adalah wajib menjamin pendidikan rohani setiap orang, fikiran, perasaannya, akhlaknya, keperibadiannya dan perilaku sosialnya. Selain itu, ajaran Islam juga dapat menjadikan warga masyarakatnya sebagai keluarga dan dapat menciptakan kehidupan saling tolong-menolong antara warga masyarakatnya. Kehidupan masyarakat Islam yang saling tolong -menolong dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Setiap kamu ialah pemimpin dan akan dipersoalkan(di pertanggungjawab) ke atas rakyatnya (mereka di bawah kepimpinan kamu).

Masyarakat Islam adalah bebas daripada unsur-unsur perkauman dan taksub, masyarakat yang terbuka kepada seluruh manusia tanpa mengira keturunan dan warna kulit. Oleh itu, masyarakat Islam ialah masyarakat yang dimiliki oleh berbagai-bagai rumpun bangsa, warna kulit dan bahasa. Mereka sama-sama berhak dipelihara dan dilindungi oleh peraturan Islam dalam hidup bermasyarakat. Bahkan, hal ini dijelaskan dalam Al-Quran:

Maksudnya:"Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan serta kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya berkenal-kenalan (beramah mesra anatara satu sama lain). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih sempurna di antara kamu bukan yang lebih keturunan atau bangsanya."

Oleh yang demikian, ciri istimewa itu membolehkan ajaran Islam menjadi ajaran international, dan masyarakat Islam bukan masyarakat rasional dan bukan pula masyarakat kemazhaban, tetapi masyarakat yang tegak berdiri di atas landasan akidah ilahiah yang menumpukan perhatian besar kepada masalah akhlah, peningkatan jiwa dan martabat manusia terhadap Sang Pencipta.

Masyarakat Islam juga masyarakat yang tidak melakukan perbutan keji dan tidak membiarkan kemungkinan terjadinya kekejian, masyarakat yang tidak membuka kesempatan bagi munculnya penyelewengan, kerosakan, munculnya golongan mengingkari Allah SWT, dan merupakan masyarakat yang tegas menyatakan hukuman, Allah berfirman dalam surah an-Nur ayat 19 yang bermaksud:

Maksudnya:" Sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan kekejian dikalangan orang-orang beriman, mereka akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."

Khatimah

Sesungguhnya, masyarakat Islam merupakan masyarakay yang hidup mengikut nilai-nilai Islam, mempunyai hubungan serta Ukhuwah yang kuat tanpa mengira bangsa dan warna kulit, bahkan sentiasa menjaga hak dan kewajipan bersama. Pembentukkan masayarakat Islam yang hakiki merupakan jaminan yang menentukan keselamatan manusia dan sebagai rahmat tidak ternilai rahmatnya bagi seluruh alam.

1 comments:

NIAsyazaDHANIYAH said...

nice. thanks

Post a Comment