Sunday, October 18, 2009

KeMahiRan UnTuk BeRdaKwaH


Dakwah ialah menyeru manusia ke arah membuat kebajikan atau kebaikan dan meninggalkan segala apa yang di larang oleh Allah SWT. Justeru itu, tuntutan dakwah adalah satu kewajipan yang mesti di laksanakan ke atas setiap individu muslim di muka bumi. Oleh itu, dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, setiap muslim perlu membina kemahiran dalam berbagai aspek agar segala persiapan dan perancangan dalam melakukan aktiviti dakwah dapat dilakukan dengan penuh teliti dan sistematik.

Kemahiran Menguasai Ilmu Pengetahuan

Setiap individu muslim wajib menuntut ilmu pengetahuan, terutamanya ilmu Fardhu 'ain yang sangat dititikberatkan dalam agama Islam. Ilmu seperti Tauhid, Ilmu Hadis, Ilmu Fiqh dan yang penting sekali Ilmu Dakwah perlu dikuasai sebaik mungkin agar ia menjadi bekalan dan pegangan dalam mengerjakan aktiviti dakwah. Di samping itu, setiap muslim perlu menguasai Ilmu fardhu kifayah seperti ilmu teknologi maklumat, sains, ekonomi, perundangan dan sebagainya. Bahkan setiap muslim perlu peka dengan perkembangan semasa dan melakukan kajian supaya dapat menggabungkan kajian tersebut dengan ilmu pengetahuan mengikut pandangan Islam. Hal ini kerana ia dapat membentuk dan menghasilkan kajian yang relevan serta dapat diterima akal manusia terutama kepada mereka yang bukan Islam. Allah SWT menceritakan bagaimana Zulkarnain menguasai teknologi pada zamannya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Hingga apabila dia sampai antara buah gunung dia mendapati di hadapan kedua bukit itu satu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan. Mereka berkata:" Hai Zulkarnain sesungguhnya Ya'juj dan Ma'juj sering melakukan kerosakan di muka bumi maka dapatkah kami berikan upah kepadamu supaya membuat dinding yang memisahkan antara kami dan mereka?" Zulkarnain berkata, "Apa yang dikuasakan Allah kepadaku adalah lebih baik maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat) agar aku dapat membina sebuah dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan-potongan besi." Apabila besi itu sama rata dengan kedua puncak gungung berkatalah Zulkarnain,"Tiuplah api." Apabila besi itu menjadi merah dia pun berkata, "Berikan aku tembaga yang mendidih agar aku tuangkan ke atas besi panas itu." Maka mereka tidak dapat mendakinya dan tidak dapat melubanginya.

Dalam hal ini, setiap muslim perlu menguasai ilmu pengetahuan serta memanfaatkannya dalam melakukan amalan kebaikan terutamanya dalam mengerjakan aktiviti dakwah. Keadaan ini bersesuaian dengan perkembangan semasa dan zaman, yang mana ketika ini kemahiran ilmu dalam bidang sains dan teknologi maklumat amat penting dan ia merupakan wadah terbaik dalam menyampaikan mesej dakwah.

Kemahiran Menggunakan Berbagai Bahasa

Dalam hal ini, kemahiran dalam menggunakan berbagai bahasa adalah satu kaedah yang perlu diberi perhatian dalam melaksanakan aktiviti dakwah. Jika dilihat latarbelakang masyarakat kita yang berbilang kaum, kemahiran ini sangat penting dalam menyampaikan mesej dakwah terhadap masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada pelbagai budaya, adat resam dan bahasa. Oleh itu, sewajarnya ia perlu di praktikkan bagi memudahkan proses penyampaian mesej dakwah terhadap masyarakat bukan Islam. Hal ini kerana bahasa merupakan jiwa terhadap sesuatu bangsa.

Kemahiran Mengurus Masa

Masa itu emas. Ini merupakan ungkapan yang menggambarkan bahawa masa sangat bernilai dalam kehidupan manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Maksudnya:"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran."

Maka ingin ditegaskan bahawa masa perlu dimanfaatkan dengan amalan kebaikan dan sentiasa melaksanakan apa yang di suruh dan meninggalkan apa yang di larang. Justeru itu, setiap muslim perlu menguruskan masa dengan sebaik mungkin dalam kehidupan seharian serta mengutamakan tanngungjawab sebagai daie di muka bumi berbanding yang lain. Oleh itu, pengurusan masa sangat penting dalam membina nilai-nilai kehidupan menurut Islam serta mengutamakan tanggungjawab sebagai daie.

Kemahiran Interpersonal

Manusia secara fitrahnya memerlukan antara satu sama lain. Namun, pertengkaran dan salah faham sering berlaku kerana tindak tanduk yang menyalahi adab dan tatasusila pergaulan. Justeru kemahiran Interpersonal adalah penting untuk mengurangkan kesan-kesan negatif ini. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujarat ayat 12 yang bermaksud:

Maksudnya: "Wahai mereka yang beriman jauhilah dari kebanyakkan prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu suka mencari kesalahan orang lain."

Dalam konteks dakwah, kemahiran ini sangat penting dalam menyampaikan mesej dakwah kepada sasaran. Oleh itu, setiap muslim wajar membina kemahiran dalam diri mereka. Terdapat beberapa elemen penting dalam membina kemahiran interpersonal, iaitu:
  1. Tidak prasangka buruk
  2. Tidak sombong
  3. Sentiasa merendah diri
  4. Bercakap dengan lemah lembut dan perkataan yang baik
  5. Berakhlak mulia
Bahkan Nabi SAW berpesan:"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata dengan sesuatu yang baik ataupun hendaklah dia diam."

Oleh sebab itu, kemahiran ini sangat penting kerana ia menghubung dan interaksi antara dua pihak serta ia merupakan proses dalam menyampaikan mesej dakwah. Menurut pengarang buku 'Developing The Leaders Around You', John C. Maxwell, beliau berkata:

"Kemahiran interpersonal berkait rapat dengan sifat tidak mementingkan diri sendiri, mampu memahami kehendak manusia dan sentiasa mementingkan pergaulan yang baik sesama insan. Sikap kita terhadap orang lain menentukan sikap orang lain terhadap kita. Pemimpin yang cemerlang memahami perkara ini."

Kemahiran Membuat Keputusan

Islam menekankan agar bermusyawarah sebelum membuat sesuatu keputusan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Imran ayat 159 yang bermaksud:

Maksudnya:"Maafkanlah mereka mohonkanlah keampunan bagi mereka serta bermusyawarahlah bersama mereka dalam urusan (duniawi). Selepas kamu membulatkan tekad bertawakallah kepada Allah.."

Dalam hal ini, urusan dakwah perlu kepada perancangan yang teliti dan sistematik supaya ia dapat memberikan kesan yang positif dalam tempoh jangka masa tertentu. Namun, dalam membuat perancangan atau merencanakan sesuatu program dakwah kadangkala menghadapi
cabaran dan halangan tertentu. Oleh sebab itu, kemahiran membuat keputusan yang tepat amat penting dalam membentuk dan merancang program dakwah.

Menurut James M. Higgins dalam bukunya yang bertajuk '101 Creative Problem Solving Techniques', beliau berkata:

"Kemahiran menyelesaikan masalah secara kreatif merupakan suatu keperluan pada hari ini. Individu yang lebih inovatif dalam sesebuah organisasi biasanya akan lebih berjaya dan mampu berkembang."

Antara teknik-teknik menyelesaikan masalah yang beliau cadangkan ialah:
  1. Camelot: Teknik ini menuntut kita menentukan pencapaian yang terbaik disusuli dengan perbincangan berhubung kekuatan yang diperlukan untuk mencapainya.
  2. Fishbone Diagram: Teknik ini menggunakan lakaran seperti tulang ikan untuk mengenal pasti masalah dan jalan keluarnya.
  3. Brainstorming: Setiap ahli mesyuarat diminta memberikan pandangan berhubung dengan sesuatu masalah tanpa sebarang sekatan
  4. Scenario Writing: Ia merupakan perbincangan kreatif berhubung keadaan masa depan di susuli dengan perbincangan strategi ke arah itu.
  5. Mind Mapping: Teknik ini dapat di gunakan oleh setiap individu dengan menulis masalah pokok dan mencabangkan masalah itu kepada masalah seperti ranting pokok. Dari peta itu dapat dikenal pasti persamaan dan kaitan antara satu masalah dengan masalah yang lain.
Khatimah

Kesimpulannya, kemahiran yang ke semua di atas adalah antara kemahiran dalam merencanakan aktiviti dakwah serta mengembangkan lagi beberapa cara dan membina mengikut tahap individu muslim dalam menguasai pelbagai bidang. Oleh yang demikian, setiap muslim perlu membina asas kemahiran dalam mengerjakan aktiviti dakwah.






0 comments:

Post a Comment