Monday, September 7, 2009

KaEdah MeRanGsAnG Anak MenYinTaI SoLaT

Solat merupakan ibadah yang paling penting bagi seorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT. Ia mula dikira oleh Allah SWT apabila seorang muslim itu mencapai usia akil baligh. Oleh itu, pendidikan solat hendaklah dimula ketika anak-anak berusia sejak kecil lagi. Untuk itu, ia menjadi tanggungjawab yang besar bagi ibu bapa dalam membentuk peribadi muslim yang sejati dalam diri anak-anak mereka. Oleh sebab itu, ibadah solat merupakan kunci utama dalam membentuk peribadi dan akhlak mulia dalam diri mereka sehingg dewasa kelak. Pendidikan solat juga mampu melahirkan anak-anak soleh yang menjadi impian setiap ibu bapa. Sebagaimana yang ditegaskan Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud:

"Apabila matinya anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh."

Justeru itu, pendidikan solat amat penting dalam membentuk jati diri dan akhlak islamiah dalam diri anak-anak serta dapat melahirkan generasi yang soleh dan berbakti kepada ibu bapa, masyarakat dan agama Islam. Oleh yang demikian, kaedah mendidik solat terhadap anak-anak yang betul amat perlu dalam merealisasikan matlamat tersebut.

Kaedah Pada Peringkat Awal (3-5 tahun)

Pada usia anak-anak mencecah tiga tahun, anak-anak pada peringkat ini suka bertindak bebas dan membuat sesuatu ikut kehendak hati mereka. Pada peringkat ini juga anak-anak suka meniru gaya dan perbuatan ibu bapa mereka. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membiarkan sahaja anak-anak mereka meniru gaya ketika solat serta membiarkan anak-anak bersolat mengikut kehendak mereka sendiri. Ibu bapa juga hendaklah tidak memarahi dan menegur anak-anak sekiranya mereka tidak mahu solat kerana mereka masih tidak memahami kewajipan untuk bersolat. Pada peringkat ini juga, ibu bapa hendaklah melatih anak mereka menghafaz dan mengajar membaca surah pendek seperti surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan sebagainya.

Kaedah Pada Peringkat Pertengahan ( 5-7 tahun)

  • Mengenal Allah SWT
Pada usia ini, ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka dengan menggunakan bahasa
yang lembut, mendidik mereka mengenal sifat Allah dan berikan contoh yang mudah
mereka untuk difahami. Terangkan kepada mereka tentang sifat kasih sayang Allah
terhadap mereka yang mendirika solat, bercerita tentang kekuasaan Allah dan nama-
nama Allah yang indah.
  • Memberikan Contoh Yang Baik
Dalam hal ini, ibu bapa perlu menjadi contoh dan role model yang baik terhadap anak-anak
mereka. Jika anak-anak melihat ibu bapa mereka tekun mendirikan solat tanpa rasa jemu,
maka ia akan memberikan kesan positif dalam pemikiran mereka iaitu perlunya
mendirikan solat. Di samping itu, ibu bapa hendaklah mengajar sedikit tentang persoalan
akidah seperti mengajar mereka tentang Rukun Islam, Rukun Iman, kisah para Rasul yang
akan memberikan pengajaran terhadap mereka.
  • Dorongan Yang Positif
Elakkan menggunakan bahasa yang kesat, memberi ugutan, memarahi mereka jika
mereka meninggalkan solat. Memukul juga dilarang sama sekali kerana ia boleh
mematahkan semangat mereka. Ibu bapa perlu memberikan galakkan dan dorongan yang
positif supaya dapat membina semangat dan motivasi anak-anak untuk mendirikan
solat dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, para ibu boleh menjahit telekung untuk
anak perempuan mereka, menyediakan sejadah kecil untuk anak-anak serta memberi
hadiah jika mereka mendirikan solat. Oleh yang demikian, ia dapat memberi kesan yang
positif dalam diri anak-anak untuk mendirikan solat.
  • Berperingkat-peringkat
Usaha mendidik anak-anak dalam melatih mereka untuk mendirikan solat hendaklah
di lakukan secara berperingkat-peringkat. Contohnya, melatih anak-anak mendirikan
solat Subuh dahulu pada setiap hari, kemudian diikuti solat Zohor, Asar, Maghrib dan
Isyak sehingga mereka biasa melakukannya sedikt demi sedikit.Keadaan ini akan memberi
ruang yang secukupnya dalam membiasakan diri mereka untuk menunaikan solat pada
setiap hari.
  • Pergi Ke Masjid
Di samping mewujudkan suasana mendirikan solat di dalam rumah, adakalanya ibu bapa
perlu membawa anak-anak untuk mendirikan solat di masjid. Ini secara tidak langsung
mendedahkan anak-anak mereka untuk bercampur dan bergaul dalam masyarakat dan ini
akan membantu mereka dalam mempelajari ilmu agama serta ia akan memberikan kesan
positif dalam jiwa mereka.
  • Mengajar Tentang Adab-Adab Islam
Pada usia ini, ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka mengenai adab-adab dalam
Islam seperti adab bersuci, adab membuang air kecil dan besar dan sebagainya. Mereka
juga perlu diajar tentang cara berwudhuk dan menjelaskan kepentingan menjaga
kebersihan.

Kaedah Pada Peringkat Akhir (7-10 tahun)

  • Perhatian Ibu Bapa
Anak-anak pada usia ini memerlukan perhatian ibu bapa kerana perubahan yang berlaku
dalam diri mereka dari segi jiwa, perlakuan dan perwatakkan. Ibu bapa perlu mengambil
berat dan memberi perhatian secukupnya tentang masalah yang dihadapi oleh anak
mereka walaupun masalah kecil sahaja. Dalam hal ini, program usrah amat penting
untuk dipraktikkan dalam rumah.
  • Solat Berjemaah
Amalan mendirikan solat berjemaah ini dapat mewujudkan suasana harmoni dalam rumah serta dapar mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mendidik anak-anak agar rajin
untuk mendirikan solat. Ikatan kasih sayang juga dapat dilihat melalui amalan ini. Secara
tidak langsung ia dapat meningkatkan motivasi mereka untuk bersolat setiap hari.
  • Memukul
Kaedah ini hendaklah untuk bertujuan untuk mengajar anak-anak sekiranya mereka
enggan dan berdegil untuk mendirikan solat. Namun, tidak perlu memukul sehingga
mencederakan mereka kerana ia akan memberikan kesan yang negatif dalam jiwa mereka.
Sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah, memukul hendaklah bukan untuk
menghukum mereka, tetapi adalah untuk mendidik dan mengajar mereka.

Khatimah

Justeru itu, tanggungjawab mendidik anak-anak untuk mendirikan solat merupakan amanah yang mesti dilaksanakan bagi membentuk dan menyemai jiwa anak-anak agar menyintai ibadah solat serta melaksanakan kewajipan Rukun Islam yang kedua ini. Kaedah yang sedemikian ini secara tidak langsung sebagai langkah atau cara utama dalam merangsang anak-anak untuk mendirikan solat. Oleh yang demikian, kaedah atau cara yang betul akan membantu dalam proses melatih dan membimbing anak-anak mempelajari cara untuk mendirikan solat serta ia juga dapat membentuk sahsiah yang mantap dalam diri mereka. Generasi yang soleh dibentuk melalui pendidikan solat yang sempurna dari peringkat akar umbi.

0 comments:

Post a Comment