Friday, September 4, 2009

MemBanGun GeNerAsi MudA IsLam Di Era GloBaliSaSi


Umat Islam dewasa ini telah dilanda pelbagai cabaran-cabaran hidup yang masih lagi sukar untuk menyelesaikannya, termasuk masalah pembangunan dan pembinaan generasi muda Islam.Oleh yang demikian Umat Islam dituntut untuk mencari jalan penyelesaian dengan berpandukan segala ajaran dan peraturan yang telah digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran ayat 11 yang bermaksud:

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpegang teguh dijalan Allah, pasti diberi hidayah dan bimbingan melalui jalan yang benar (lurus).

Oleh yang demikian, Umat Islam hendaklah mengikut segala apa yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang.Permasalahan di kalangan generasi muda Islam masa kini perlu diambil berat dan bekerjasama dalam menangani masalah yang semakin membimbangkan.Justeru itu, beberapa penekanan yang perlu diambil dan diberi perhatian sewajarnya dalam menyelesaikan isu ini.Antara penekanan atau kaedah utama dalam menyelesaikan masalah dikalangan generasi muda Islam melalui:

  1. Pembinaan Akidah Islam
  2. Pendidikan Akhlak Islam
  3. wawasan Iman Dan Muamalah Islamiah
Pembinaan Akidah Islamiah

Masa muda adalah masa yang penuh dengan kegoncangan jiwa, masa peralihan daripada kanak-kanak kepada masa dewasa yang matang.Oleh itu, akidah pada masa muda ini memerlukan pembangunan dan pembinaan yang serius.Pemantapan akidah dalam jiwa generasi muda Islam amat penting kerana ia sebagai benteng yang paling utuh dalam menghadapi cabaran dalam era ini.Hal ini kerana soal akidah berkait rapat dengan keyakinan terhadap Sang Pencipta alam semesta ini.Dalam soal akidah,beberapa isu atau asas pokok utama yang perlu disemai dalam jiwa mereka, iaitu:

  • Tawhid zat wa sifat, yakni meyakini Tuhan pencipta adalah zat Tunggal yang mempunyai kekuasaan mutlak yang tidak boleh disamai dengan makhluk lain.
  • Tawhid Rububiyyah, iaitu meyakini Allah yang mengatur alam semesta ini dan apa yang terjadi didunia ini adalah kebijaksanaanNya.
  • Tawhid Uluhiyyah, yakni sebagai realisasi kedua-dua bentuk keyakinan di atas, iaitu dengan dibuktikan melalui ibadah yang didasari dengan hati dalam mendekatkan diri kepadaNya.
Dalam merangka ketiga-tiga keyakinan itu, ulama Islam telah mengembangkan pelbagai disiplin ilmu yang berkaitan dengan soal akidah, seperti ilmu tawhid, ilmu kalam, ilmu tasawuf dan lain-lain.Bagi mengukuhkan lagi akidah Islam pada generasi muda, Islam telah memberi garis panduan yang lengkap dalam mendidik jiwa mereka, terutamanya dikalangan para ibu bapa.Ada beberapa tahap dalam membina akidah Islam dalam jiwa anak-anak,iatu:

  1. Membuka jiwa anak dengan kalimah tawhid la ilaha illa Allah.
  2. Memerintahkan beribadah kepada Allah semenjak kecil lagi seperti mendirikan solat, berpuasa dan lain-lain lagi.
  3. Menanamkan rasa cinta kepada Allah SWT, Rasulullah dan kaum kerabat baginda.
  4. Amalan membaca Al-Quran dan menghayati isi kandungnya.
  5. Menanamkan kefahaman tentang halal dan haram, pahala dan dosa serta syurga dan neraka.
Oleh itu, melalui cara tersebut ia dapat membentuk jiwa anak-anak yang mantap akidahnya serta menjadi generasi mukmin yang kuat menghadapi cabaran yang mendatang.Justeru itu, pengukuhan akidah amat penting dalam membina dan membangun generasi muda Islam pada masa kini.

Pendidikan Akhlak Islam

Pendidikan akhlak Islam adalah berkait rapat dengan pembangunan dan pembinaan akidah Islam.Jiwa yang kukuh keimanannya terhadap Allah akan melahirkan budi pekerti yang mulia.Akhlak yang mulia adalah jalan untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat, serta mengangkat darjat manusia ke suatu tempat yang mulia disisi Allah.Imam al-Ghazali membahagikan akhlak yang paling utama dalam Islam kepada empat bahagian:

  • al-hikmah, iaitu bijaksana atau serasi tindakan perilaku seseorang di antara ilmu dan amalnya.
  • al-'adlu, ertinya jiwa yang dapat mencegah kemarahan dan hawa nafsu untuk dapat mencapai al-hikmah.Sifat ini juga dapat membimbing manusia ke arah keselamatan, ketenteraman, perdamaian dan kebahagiaan.
  • al-shajaah, iaitu keberanian yang bererti keteguhan hati dalam membela dan mempertahankan yang benar.
  • al-'Iffah, iaitu menjaga diri dari perbuatan maksiat dan menjauhkan diri dari kelakuan yang tidak luhur.
Keempat-empat sifat ini merupakan asas dan pokok keluhuran akhlak, yang akhirnya akan membangkitkan sifat-sifat terpuji lain.Oleh yang demikian, pendidikan akhlak Islam amat penting dalam membentuk peribadi yang mantap dikalangan generasi muda Islam masa kini.

Wawasan Iman Dan Muamalah Islamiah

Apa yang dimaksudkan wawasan iman ialah amalan kehidupan kita.Dalam mencari nilai kehidupan yang sejati, keyakinan dan motivasi keimanan yang kukuh dapat memandu kita dalam mencari erti kehidupan yang sebenar.Dalam erti yang lain, matlamat kehidupan Umat Islam adalah mengabdikan diri kepada yang Maha Pencipta, mengikut segala aturan yang telah ditetapkanNya, memikul amanah yang besar sebagai khalifah di muka bumi ini serta mendaulatkan Islam sehingga akhir hayat.Begitulah samanya dalam kehidupan generasi muda Islam pada masa kini, mereka perlu mempunyai akidah yang mantap dan peribadi dan akhlak yang mulia yang merupakan tunjang dan benteng utama dalam mencari kehidupan dalam erti kata yang sebenar.Cabaran paling utama dalam kehidupan generasi muda Islam kini adalah bagaimana untuk berhadapan dengan pengaruh keduniaan yang semakin memuncak serta boleh menggoncang keimanan dalam jiwa mereka.Dalam pada masa yang generasi Islam masa kini perlu menguasai bidang sains dan teknologi serta memanfaatkannya ke jalan yang diredhai Allah.

khatimah

Pembangunan generasi muda Islam masa kini perlu bertitik tolak dalam soal akidah kerana ia menjadi prinsip utama dalam kehidupan serta perlu mempunyai nilai akhlak dan modal insan yang utuh supaya tidak dipengaruhi budaya hedonisme dan berusaha dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah melalui panduan dan ajaran yang terkandung dalam Al-Quran.

0 comments:

Post a Comment