Monday, September 7, 2009

KaEdah MeRanGsAnG Anak MenYinTaI SoLaT

Solat merupakan ibadah yang paling penting bagi seorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT. Ia mula dikira oleh Allah SWT apabila seorang muslim itu mencapai usia akil baligh. Oleh itu, pendidikan solat hendaklah dimula ketika anak-anak berusia sejak kecil lagi. Untuk itu, ia menjadi tanggungjawab yang besar bagi ibu bapa dalam membentuk peribadi muslim yang sejati dalam diri anak-anak mereka. Oleh sebab itu, ibadah solat merupakan kunci utama dalam membentuk peribadi dan akhlak mulia dalam diri mereka sehingg dewasa kelak. Pendidikan solat juga mampu melahirkan anak-anak soleh yang menjadi impian setiap ibu bapa. Sebagaimana yang ditegaskan Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud:

"Apabila matinya anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh."

Justeru itu, pendidikan solat amat penting dalam membentuk jati diri dan akhlak islamiah dalam diri anak-anak serta dapat melahirkan generasi yang soleh dan berbakti kepada ibu bapa, masyarakat dan agama Islam. Oleh yang demikian, kaedah mendidik solat terhadap anak-anak yang betul amat perlu dalam merealisasikan matlamat tersebut.

Kaedah Pada Peringkat Awal (3-5 tahun)

Pada usia anak-anak mencecah tiga tahun, anak-anak pada peringkat ini suka bertindak bebas dan membuat sesuatu ikut kehendak hati mereka. Pada peringkat ini juga anak-anak suka meniru gaya dan perbuatan ibu bapa mereka. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membiarkan sahaja anak-anak mereka meniru gaya ketika solat serta membiarkan anak-anak bersolat mengikut kehendak mereka sendiri. Ibu bapa juga hendaklah tidak memarahi dan menegur anak-anak sekiranya mereka tidak mahu solat kerana mereka masih tidak memahami kewajipan untuk bersolat. Pada peringkat ini juga, ibu bapa hendaklah melatih anak mereka menghafaz dan mengajar membaca surah pendek seperti surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan sebagainya.

Kaedah Pada Peringkat Pertengahan ( 5-7 tahun)

  • Mengenal Allah SWT
Pada usia ini, ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka dengan menggunakan bahasa
yang lembut, mendidik mereka mengenal sifat Allah dan berikan contoh yang mudah
mereka untuk difahami. Terangkan kepada mereka tentang sifat kasih sayang Allah
terhadap mereka yang mendirika solat, bercerita tentang kekuasaan Allah dan nama-
nama Allah yang indah.
  • Memberikan Contoh Yang Baik
Dalam hal ini, ibu bapa perlu menjadi contoh dan role model yang baik terhadap anak-anak
mereka. Jika anak-anak melihat ibu bapa mereka tekun mendirikan solat tanpa rasa jemu,
maka ia akan memberikan kesan positif dalam pemikiran mereka iaitu perlunya
mendirikan solat. Di samping itu, ibu bapa hendaklah mengajar sedikit tentang persoalan
akidah seperti mengajar mereka tentang Rukun Islam, Rukun Iman, kisah para Rasul yang
akan memberikan pengajaran terhadap mereka.
  • Dorongan Yang Positif
Elakkan menggunakan bahasa yang kesat, memberi ugutan, memarahi mereka jika
mereka meninggalkan solat. Memukul juga dilarang sama sekali kerana ia boleh
mematahkan semangat mereka. Ibu bapa perlu memberikan galakkan dan dorongan yang
positif supaya dapat membina semangat dan motivasi anak-anak untuk mendirikan
solat dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, para ibu boleh menjahit telekung untuk
anak perempuan mereka, menyediakan sejadah kecil untuk anak-anak serta memberi
hadiah jika mereka mendirikan solat. Oleh yang demikian, ia dapat memberi kesan yang
positif dalam diri anak-anak untuk mendirikan solat.
  • Berperingkat-peringkat
Usaha mendidik anak-anak dalam melatih mereka untuk mendirikan solat hendaklah
di lakukan secara berperingkat-peringkat. Contohnya, melatih anak-anak mendirikan
solat Subuh dahulu pada setiap hari, kemudian diikuti solat Zohor, Asar, Maghrib dan
Isyak sehingga mereka biasa melakukannya sedikt demi sedikit.Keadaan ini akan memberi
ruang yang secukupnya dalam membiasakan diri mereka untuk menunaikan solat pada
setiap hari.
  • Pergi Ke Masjid
Di samping mewujudkan suasana mendirikan solat di dalam rumah, adakalanya ibu bapa
perlu membawa anak-anak untuk mendirikan solat di masjid. Ini secara tidak langsung
mendedahkan anak-anak mereka untuk bercampur dan bergaul dalam masyarakat dan ini
akan membantu mereka dalam mempelajari ilmu agama serta ia akan memberikan kesan
positif dalam jiwa mereka.
  • Mengajar Tentang Adab-Adab Islam
Pada usia ini, ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka mengenai adab-adab dalam
Islam seperti adab bersuci, adab membuang air kecil dan besar dan sebagainya. Mereka
juga perlu diajar tentang cara berwudhuk dan menjelaskan kepentingan menjaga
kebersihan.

Kaedah Pada Peringkat Akhir (7-10 tahun)

  • Perhatian Ibu Bapa
Anak-anak pada usia ini memerlukan perhatian ibu bapa kerana perubahan yang berlaku
dalam diri mereka dari segi jiwa, perlakuan dan perwatakkan. Ibu bapa perlu mengambil
berat dan memberi perhatian secukupnya tentang masalah yang dihadapi oleh anak
mereka walaupun masalah kecil sahaja. Dalam hal ini, program usrah amat penting
untuk dipraktikkan dalam rumah.
  • Solat Berjemaah
Amalan mendirikan solat berjemaah ini dapat mewujudkan suasana harmoni dalam rumah serta dapar mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mendidik anak-anak agar rajin
untuk mendirikan solat. Ikatan kasih sayang juga dapat dilihat melalui amalan ini. Secara
tidak langsung ia dapat meningkatkan motivasi mereka untuk bersolat setiap hari.
  • Memukul
Kaedah ini hendaklah untuk bertujuan untuk mengajar anak-anak sekiranya mereka
enggan dan berdegil untuk mendirikan solat. Namun, tidak perlu memukul sehingga
mencederakan mereka kerana ia akan memberikan kesan yang negatif dalam jiwa mereka.
Sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah, memukul hendaklah bukan untuk
menghukum mereka, tetapi adalah untuk mendidik dan mengajar mereka.

Khatimah

Justeru itu, tanggungjawab mendidik anak-anak untuk mendirikan solat merupakan amanah yang mesti dilaksanakan bagi membentuk dan menyemai jiwa anak-anak agar menyintai ibadah solat serta melaksanakan kewajipan Rukun Islam yang kedua ini. Kaedah yang sedemikian ini secara tidak langsung sebagai langkah atau cara utama dalam merangsang anak-anak untuk mendirikan solat. Oleh yang demikian, kaedah atau cara yang betul akan membantu dalam proses melatih dan membimbing anak-anak mempelajari cara untuk mendirikan solat serta ia juga dapat membentuk sahsiah yang mantap dalam diri mereka. Generasi yang soleh dibentuk melalui pendidikan solat yang sempurna dari peringkat akar umbi.

Friday, September 4, 2009

MemBanGun GeNerAsi MudA IsLam Di Era GloBaliSaSi


Umat Islam dewasa ini telah dilanda pelbagai cabaran-cabaran hidup yang masih lagi sukar untuk menyelesaikannya, termasuk masalah pembangunan dan pembinaan generasi muda Islam.Oleh yang demikian Umat Islam dituntut untuk mencari jalan penyelesaian dengan berpandukan segala ajaran dan peraturan yang telah digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran ayat 11 yang bermaksud:

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpegang teguh dijalan Allah, pasti diberi hidayah dan bimbingan melalui jalan yang benar (lurus).

Oleh yang demikian, Umat Islam hendaklah mengikut segala apa yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang.Permasalahan di kalangan generasi muda Islam masa kini perlu diambil berat dan bekerjasama dalam menangani masalah yang semakin membimbangkan.Justeru itu, beberapa penekanan yang perlu diambil dan diberi perhatian sewajarnya dalam menyelesaikan isu ini.Antara penekanan atau kaedah utama dalam menyelesaikan masalah dikalangan generasi muda Islam melalui:

  1. Pembinaan Akidah Islam
  2. Pendidikan Akhlak Islam
  3. wawasan Iman Dan Muamalah Islamiah
Pembinaan Akidah Islamiah

Masa muda adalah masa yang penuh dengan kegoncangan jiwa, masa peralihan daripada kanak-kanak kepada masa dewasa yang matang.Oleh itu, akidah pada masa muda ini memerlukan pembangunan dan pembinaan yang serius.Pemantapan akidah dalam jiwa generasi muda Islam amat penting kerana ia sebagai benteng yang paling utuh dalam menghadapi cabaran dalam era ini.Hal ini kerana soal akidah berkait rapat dengan keyakinan terhadap Sang Pencipta alam semesta ini.Dalam soal akidah,beberapa isu atau asas pokok utama yang perlu disemai dalam jiwa mereka, iaitu:

  • Tawhid zat wa sifat, yakni meyakini Tuhan pencipta adalah zat Tunggal yang mempunyai kekuasaan mutlak yang tidak boleh disamai dengan makhluk lain.
  • Tawhid Rububiyyah, iaitu meyakini Allah yang mengatur alam semesta ini dan apa yang terjadi didunia ini adalah kebijaksanaanNya.
  • Tawhid Uluhiyyah, yakni sebagai realisasi kedua-dua bentuk keyakinan di atas, iaitu dengan dibuktikan melalui ibadah yang didasari dengan hati dalam mendekatkan diri kepadaNya.
Dalam merangka ketiga-tiga keyakinan itu, ulama Islam telah mengembangkan pelbagai disiplin ilmu yang berkaitan dengan soal akidah, seperti ilmu tawhid, ilmu kalam, ilmu tasawuf dan lain-lain.Bagi mengukuhkan lagi akidah Islam pada generasi muda, Islam telah memberi garis panduan yang lengkap dalam mendidik jiwa mereka, terutamanya dikalangan para ibu bapa.Ada beberapa tahap dalam membina akidah Islam dalam jiwa anak-anak,iatu:

  1. Membuka jiwa anak dengan kalimah tawhid la ilaha illa Allah.
  2. Memerintahkan beribadah kepada Allah semenjak kecil lagi seperti mendirikan solat, berpuasa dan lain-lain lagi.
  3. Menanamkan rasa cinta kepada Allah SWT, Rasulullah dan kaum kerabat baginda.
  4. Amalan membaca Al-Quran dan menghayati isi kandungnya.
  5. Menanamkan kefahaman tentang halal dan haram, pahala dan dosa serta syurga dan neraka.
Oleh itu, melalui cara tersebut ia dapat membentuk jiwa anak-anak yang mantap akidahnya serta menjadi generasi mukmin yang kuat menghadapi cabaran yang mendatang.Justeru itu, pengukuhan akidah amat penting dalam membina dan membangun generasi muda Islam pada masa kini.

Pendidikan Akhlak Islam

Pendidikan akhlak Islam adalah berkait rapat dengan pembangunan dan pembinaan akidah Islam.Jiwa yang kukuh keimanannya terhadap Allah akan melahirkan budi pekerti yang mulia.Akhlak yang mulia adalah jalan untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat, serta mengangkat darjat manusia ke suatu tempat yang mulia disisi Allah.Imam al-Ghazali membahagikan akhlak yang paling utama dalam Islam kepada empat bahagian:

  • al-hikmah, iaitu bijaksana atau serasi tindakan perilaku seseorang di antara ilmu dan amalnya.
  • al-'adlu, ertinya jiwa yang dapat mencegah kemarahan dan hawa nafsu untuk dapat mencapai al-hikmah.Sifat ini juga dapat membimbing manusia ke arah keselamatan, ketenteraman, perdamaian dan kebahagiaan.
  • al-shajaah, iaitu keberanian yang bererti keteguhan hati dalam membela dan mempertahankan yang benar.
  • al-'Iffah, iaitu menjaga diri dari perbuatan maksiat dan menjauhkan diri dari kelakuan yang tidak luhur.
Keempat-empat sifat ini merupakan asas dan pokok keluhuran akhlak, yang akhirnya akan membangkitkan sifat-sifat terpuji lain.Oleh yang demikian, pendidikan akhlak Islam amat penting dalam membentuk peribadi yang mantap dikalangan generasi muda Islam masa kini.

Wawasan Iman Dan Muamalah Islamiah

Apa yang dimaksudkan wawasan iman ialah amalan kehidupan kita.Dalam mencari nilai kehidupan yang sejati, keyakinan dan motivasi keimanan yang kukuh dapat memandu kita dalam mencari erti kehidupan yang sebenar.Dalam erti yang lain, matlamat kehidupan Umat Islam adalah mengabdikan diri kepada yang Maha Pencipta, mengikut segala aturan yang telah ditetapkanNya, memikul amanah yang besar sebagai khalifah di muka bumi ini serta mendaulatkan Islam sehingga akhir hayat.Begitulah samanya dalam kehidupan generasi muda Islam pada masa kini, mereka perlu mempunyai akidah yang mantap dan peribadi dan akhlak yang mulia yang merupakan tunjang dan benteng utama dalam mencari kehidupan dalam erti kata yang sebenar.Cabaran paling utama dalam kehidupan generasi muda Islam kini adalah bagaimana untuk berhadapan dengan pengaruh keduniaan yang semakin memuncak serta boleh menggoncang keimanan dalam jiwa mereka.Dalam pada masa yang generasi Islam masa kini perlu menguasai bidang sains dan teknologi serta memanfaatkannya ke jalan yang diredhai Allah.

khatimah

Pembangunan generasi muda Islam masa kini perlu bertitik tolak dalam soal akidah kerana ia menjadi prinsip utama dalam kehidupan serta perlu mempunyai nilai akhlak dan modal insan yang utuh supaya tidak dipengaruhi budaya hedonisme dan berusaha dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah melalui panduan dan ajaran yang terkandung dalam Al-Quran.

PeNguRusaN HarTa DaLam IsLaM

Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan umat manusia daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki supaya umat manusia itu memakmurkan bumi. Firman Allah dalam surah Hud ayat 61:

Maksudnya: Dialah menciptakan kamu dari bahan-bahan bumi , serta menghendaki memakmurkannya (iaitu berusaha supaya ramai penduduknya , banyak hasil mahsulnya dan sejahtera hidup di dalamnya).

Oleh demikian, umat manusia perlu memanfaatkan segala ciptaan Allah di langit dan di bumi bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan seharian. Justeru itu, umat manusia perlu meneroka segala isi alam serta memproses sesuatu dengan menggunakan kekuatan akal yang di kurniakan oleh Allah SWT dalam diri mereka. Umat manusia juga perlu sebahagian hasil bumi untuk bercucuk tanam dan memproses bahan galian seperti bijih dan minyak bagi memakmurkan bumi dan menyara kehidupan.

Oleh itu, kemajuan dan pembangunan hasil penerokaan umat manusia sehingga hari ini mengambarkan perubahan yang ketara mengikut peredaran zaman. Umat manusia juga semakin ghairah mencipta kekayaan dan berlumba-lumba mengumpul harta kekayaan bagi menjamin kehidupan yang akan datang. Namun timbul pelbagai persoalan atau masalah iaitu:

 Adakah umat manusia dapat memiliki seluruh hasil usahanya dan seluruh harta yang disimpannya?
 Adakah mereka mendapat hak milik penuh atau hak mlilik terbatas?

Dengan berpandukan kepada nas-nas Al-Quran, semua harta adalah milik Allah dan umat manusia hanya boleh mengambil dan menikmati manfaatnya sahaja. Ini berdasarkan hakikat bahawa hanya Allah SWT sahaja yang telah menciptakan langit dan bumi beserta seluruh kandungannya, bahkan seluruh benda yang wujud di ruang sempadan langit dan bumi itu. Firman Allah SWT dalam surah Al-An’am ayat 102:


Maksudnya: yang demikian (sifat-sifat dan kekuasaanNya) ialah Allah tuhan kamu, tiada tuhan (yang disembah dan dipatuhi dengan sebenar-benarnya) melainkan Dia, yang menjadikan tiap-tiap sesuatu.

Allah jua memiliki segala sesuatu di langit dan segala sesuatu di bumi, samada yang kecil mahupun yang besar , yang mempunyai nilai ekonomi dan juga tidak mempunyai nilai ekonomi. Bahkan Allah SWT memiliki seluruh isi dan bumi tanpa berkongsi dengan umat manusia mahupun dari kalangan bukan manusia. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan tiada sekutu bagiNya di dalam urusa kerajaanNya dan tidak mempunyai penolong (untuk menjagaNya) dari kehinaan dan agungjanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.

Allah SWT juga telah memberitahu seluruh hambaNya , sebagai khalifah di bumi bahawa segala sesuatu yang mereka lakukan dan mengambil manfaatnya itu, bukanlah hasil ciptaan mereka, tetapi semata-mata dari rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka. FirmanNya:


Maksudnya: tanyakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrikin itu):” siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? “ Teranglah jawabnya: “Ialah Allah”.

Al-Quran juga menjelaskan mengenai hubungan harta dengan orang perseorangan.Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan janganlah memakan dan mengambil harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah.

Al-Quran juga telah menyebut sandaran harta orang bodoh kepada wali atau penjaga mereka, bukanlah kerana wali atau penjaga memiliki harta, tetapi mereka itu mempunyai hak mengurus harta itu. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan janganlah kamu beri serahkan kepada orang-orang bodoh akan (harta mereka yang ada di dalam jagaan kamu), harta yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu, dan berilah mereka belanja dan pakain dari pendapatan hartanya( yang kamu perniagakan ), dan berkatalah kepada mereka dengan perkataan yang baik-baik.

Walaubagaimanapun, hak yang diberikan kepada umat manusia untuk mengambil manfaat dan menggunakan harta Allah itu bukanlah hak mutlak tanpa ikatan dan syarat, tetapi telah ditetapkan syarat tertentu. Manusia di bolehkan menggunakan harta itu di dalam batas keperluan mereka tetapi mengikut kadar mana harta itu dapat menampung keperluan hidup mereka. Bahkan, manusia dilarang boros dan kedekut di dalam urusan makanan, minuman, berpakaian dan seluruh urusan hidup. Allah SWT telah mengharamkan sikap membazir sama seperti sikap kedekut dan tangkai jering. FirmanNya:

Maksudnya: Dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau.

Namun demikian , hak-hak orang lain di dalam harta Allah telah ditetapkan oleh Allah SWT, yang mana setiap orang yang mempunyai harta perlu menunaikan kewajipan atas dasar kedudukan dan tarafnya sebagai khalifah atau pengganti dalam menjaga harta Allah. Hak-hak yang mesti ditunaikan ialah:

• Zakat:

Zakat ialah fardhu yang wajib ditunaikan di dalam harta kurniaan Allah. Setiap individu yang memiliki harta Allah mengikut kadar tertentu, wajib mengeluarkan zakat dengan cara membayar nya kepada pihak penguasa supaya dibayar balik kepada pihak yang berhak menerimanya mengikut panduan nas Al-Quran. Firman Allah SWT:


Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang serta keluarkanlah zakat.

Zakat juga di wajibkan ke atas seluruh peringkat orang islam, baik lelaki mahupun perempuan, baik yang masih bayi mahupun yang sudah tua. Ini berdasarkan firman Allah SWT:


Maksudnya: Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah itu membersihkan mereka dari dosa dan membiakkan lagi harta mereka.

• Derma(Infaq)

Islam menganggap derma itu sebagai salah satu sumber kebajikan dan kebajikan itu tidak sempurna tanpa derma. Firman Allah SWT:


Maksudnya: Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat , dan para malaikat, dan segala kitab, dan sekalian nabi, dan mendermakannya seseorang akan hartanya…..

Selain itu, membelanjakan harta di jalan Allah adalah merupakan jihad, kerana ia melibatkan harta benda dan wang ringgit. Allah juga menganggap berjuang dengan harta benda dan jiwa raga itu sebagai tanda dan bukti tahap keimanan seseorang. Firman Allah SWT:


Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benar beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan rasulNya, kemudian mereka terus percaya dengan tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa raga mereka pada Allah, mereka itulah orang-orang yang benar pengakuan imannya.

Di samping itu, memberi derma kepada orang yang memerlukan pertolongan juga termasuk salah satu bentuk menderma pada jalan Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah:



Maksudnya: Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau.

Maka jelaslah bahawa membayar zakat dan membelanjakan harta di jalan Allah adalah wajib ke atas orang islam yang mempunyai harta mengikut kemampuan dan kadar harta mereka itu bagi memenuhi tuntutan yang telah di tetapkan oleh Allah SWT .

Kesimpulannya, seluruh harta itu milik Allah dan manusia hanya boleh memiliki sekadar untuk mengambil manfaat sahaja.Bahkan juga harta tersebut boleh di gunakan untuk keperluan masyarakat.Ia perlu dilaksanakan oleh pemerintah yang bertanggungjawab menguruskan harta itu dengan membuat peraturan tertentu. Imam al-Ghazali menyatakan harus bagi kerajaan mengambil kadar tertentu dari harta rakyat yang kaya berdasarkan keperluan negara misalnya bagi menjaga keamanan rakyat kerana negara mengalami masalah kekurangan wang dalam perbendahaarn atau baitul mal. Namun begitu ianya mestilah dilakukan dengan adil tanpa tekanan dan kezaliman. Ini bererti jika negara menghadapi bencana kemarau, banjir dan sebagainya sehingga memerlukan bantuan yang besar sedangkan negara tidak mampu menanggung jumlah tersebut. Maka ia secara tidak langsung dapat memenuhi keperluan masyarakat dalam apa jua keadaan.